SHAH ALAM, 25 JULAI: Mayat seorang bayi yang dibalut dengan kain ditemukan di sebuah rumah sampah asrama institusi pengajian tinggi (IPT) di Kuala Langat, tengah malam tadi.
Penemuan mayat itu dilaporkan kepada polis kira-kira jam 12.20 tengah malam oleh seorang lelaki tempatan selepas menemui bayi berkenaan yang ditinggalkan di rumah sampah blok asrama IPT terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Mohd Radzi berkata, polis telah mengenal pasti suspek yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.
Menurut beliau, suspek ialah seorang penuntut wanita berusia belasan tahun dipercayai ibu bayi tersebut.
"Suspek adalah seorang penuntut wanita berusia belasan tahun yang dipercayai ibu bayi berkenaan dan dia sudah ditahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Polis tidak mendedahkan jantina mayat bayi itu, namun difahamkan bayi perempuan.
Akmalrizal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, peruntukan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.







