Sindiket guna lori sampah edar arak tumpas, rampasan bernilai RM1.07 juta

24 Jul 2026, 9:03 AM
Sindiket guna lori sampah edar arak tumpas, rampasan bernilai RM1.07 juta

SHAH ALAM, 24 JULAI: Taktik licik sindiket menggunakan lori sampah bagi mengedar minuman keras tidak bercukai berjaya dibongkar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi dua serbuan di sekitar Kajang yang membawa kepada rampasan bernilai lebih RM1.07 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata operasi itu dilaksanakan hasil risikan utama Cawangan Pengoperasian Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman.

Menurut beliau, operasi yang bermula kira-kira jam 4.30 petang Selasa lalu dijalankan di dua lokasi yang dipercayai menjadi pusat penyimpanan dan pengedaran minuman keras tanpa cukai.

“Operasi tersebut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia antara 42 hingga 62 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Kosmo.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah lori Isuzu satu tan yang digunakan sebagai kenderaan penghantaran, sebuah Toyota Altis, 1,361 kotak minuman keras pelbagai jenama mengandungi 32,664 tin serta tiga telefon bimbit.

Katanya, keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM1,070,164.58.

Mohd Yusri berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki minuman keras tanpa cukai.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket menggunakan lori sampah sebagai pengangkutan utama bagi mengedar dan menghantar minuman keras tidak bercukai kepada pelanggan.

“Ini merupakan kali pertama pihak berkuasa mengesan modus operandi menggunakan lori sampah bagi mengaburi kegiatan pengedaran minuman keras tanpa cukai.

“Taktik ini jelas menunjukkan sindiket sentiasa mencari kaedah baharu untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.