SHAH ALAM, 24 JULAI: Slogan "penyatuan ummah" untuk menyelesaikan semua masalah dan demi kemajuan hanyalah retorik politik kerana hakikatnya itu tidak berlaku di negeri-negeri yang dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN), kata Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (HARAPAN) Dato' Seri Amirudin Shari.
"Kalau betul ‘penyatuan ummah’ boleh menyelesaikan semua masalah rakyat dan memajukan ekonomi, rakyat di negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Perlis sepatutnya sudah hidup jauh lebih selesa dan mempunyai pendapatan lebih tinggi berbanding penduduk di Tokyo, Dubai, dan Doha," katanya yang juga Menteri Besar Selangor.
Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos 2023, PN menguasai kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, 44 daripada 45 kerusi DUN Kelantan, 33 daripada 36 kerusi DUN Kedah serta 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis.
Katanya, HARAPAN akan terus berpegang kepada tekad berlandaskan kesatuan rakyat selaras dengan prinsip Rukun Negara bagi membina Malaysia yang makmur, harmoni dan stabil.
Amirudin berkata pendekatan itu menjadi asas perjuangan gabungan berkenaan dalam memastikan pembangunan negara berpaksikan keyakinan rakyat serta kestabilan.
"Jika pihak lain yang ketandusan idea ingin menghantui rakyat dengan retorik politik 'penyatuan ummah', tekad Pakatan Harapan berlandaskan Kesatuan Rakyat selaras Prinsip Rukun Negara bagi masa depan Malaysia yang makmur, harmoni dan stabil melalui pembangunan sebuah masyarakat yang yakin dan mampu berjaya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, HARAPAN telah membuktikan bahawa gabungan perpaduan berasaskan kepercayaan merupakan sebuah koalisi berpandukan nilai, akhlak serta tekad mengangkat martabat rakyat supaya ekonomi Malaysia berjaya.
Katanya, prestasi dan komitmen itu bukan sekadar janji, sebaliknya telah dinikmati rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan kini di peringkat Persekutuan.

"Golongan susah diberikan bantuan kewangan bagi mengatasi kos sara hidup, Islam terus subur di samping agama lain diamalkan secara aman.
"Generasi muda menerima peluang pendidikan serta pekerjaan berkualiti tinggi, keluarga menikmati rumah mampu milik, manakala warga emas disokong atas jasa kepada negeri dan negara," katanya.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan naratif "penyatuan ummah" yang dibawa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bukan perkara baharu, malah mendakwa percubaan seumpamanya pernah berlaku sekurang-kurangnya tiga episod sebelum ini.
"Pada 1972 apabila PAS menyertai Barisan Nasional (BN), pada 2008 selepas BN kehilangan majoriti dua pertiga dan pada 2018 apabila BN tewas buat kali pertama dalam Pilihan Raya Umum.
"Ketiga-tiga detik percubaan ini gagal dengan begitu dahsyat dan akan gagal sekali lagi kerana tabiat yang ditampilkan oleh beberapa parasit politik ini tiada prinsip, miskin maruah, tamak kuasa dan bakal menghadapi gelagat pengkhianatan apabila nafsu politik tidak tercapai," katanya.
Beliau juga berpandangan BN perlu menyedari hakikat bahawa gabungan itu berdepan risiko didominasi PN.
Katanya, tanda-tanda tersebut sudah dapat dilihat menerusi penggunaan ungkapan "Perikatan Barisan Nasional".









