Insiden Kem Hobart: Siasatan dapati tuas keselamatan grenad terlepas sebelum balingan

24 Jul 2026, 7:35 AM
Insiden Kem Hobart: Siasatan dapati tuas keselamatan grenad terlepas sebelum balingan

SHAH ALAM, 24 JULAI: Hasil siasatan insiden letupan grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah mendapati tuas keselamatan dipercayai terlepas sebelum balingan disempurnakan, sekali gus menyebabkan grenad meletup ketika masih berada berhampiran dua anggota yang terkorban.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dapatan itu dibuat berdasarkan kedudukan letupan, bukti di lokasi kejadian dan analisis kesan kecederaan.

"Berdasarkan kedudukan letupan, bukti di lokasi kejadian serta analisis kesan kecederaan, siasatan mendapati tuas keselamatan dipercayai telah terlepas sebelum balingan disempurnakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembaling mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan tangan kanan, manakala pengasuh mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala, badan serta anggota sebelah kiri.

Menurutnya, corak kecederaan itu selaras dengan dapatan bahawa grenad telah mula berfungsi sebelum sempat dibaling dan meletup ketika masih berada berhampiran bahagian atas kedua-dua anggota terbabit.

"Bagaimanapun ketiadaan saksi yang melihat kejadian secara langsung menyebabkan siasatan tidak dapat memastikan pada ketika mana tuas keselamatan itu terlepas," katanya.

Beliau berkata, grenad yang digunakan mempunyai tiga lapisan keselamatan iaitu klip keselamatan, pin keselamatan dan tuas keselamatan.

Katanya, grenad hanya mula berfungsi apabila tuas keselamatan dilepaskan daripada badan grenad dan akan meletup dalam tempoh kira-kira lima saat.

Menurutnya, proses siasatan dijalankan mengikut prosedur Tentera Darat yang melibatkan penelitian terhadap aspek teknikal, pematuhan prosedur serta keterangan saksi sebelum sesuatu kesimpulan dibuat.

"Tentera Darat turut menubuhkan Lembaga Siasatan atau Board of Inquiry (BOI) sehari selepas kejadian pada 17 Jun lalu, sebelum laporan lengkap dikemukakan kepada Kementerian Pertahanan selepas melalui semakan di beberapa peringkat pemerintahan Tentera Darat," katanya.

Beliau berkata, susulan dapatan tersebut, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia akan memperkukuh prosedur keselamatan, tatacara pengendalian grenad, tahap pengawasan serta pelaksanaan latihan bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama itu daripada berulang.

"Keselamatan setiap anggota sentiasa menjadi keutamaan. Tiada kompromi dalam memastikan semua latihan dilaksanakan dengan tahap pematuhan, pengawasan dan keselamatan yang tertinggi," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.