KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Laporan lengkap berhubung insiden letupan bom tangan di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah yang mengorbankan dua nyawa bulan lepas dijangka diterima pada 23 Julai ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata laporan itu penting bagi memastikan semua aspek teknikal, prosedur dan keterangan saksi diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan mengenai punca sebenar kejadian dimuktamadkan.
“Tentera Darat telah menubuhkan Lembaga Siasatan atau Board of Inquiry (BOI) yang bersidang sehari selepas kejadian, iaitu pada 17 Jun 2026. Laporan siasatan daripada Lembaga Siasatan kemudiannya dibawa untuk semakan di peringkat Markas 2 Divisyen dan Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat.
“Kementerian telah menerima laporan daripada Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat pada 13 Julai 2026, namun hasil semakan Markas Tentera Darat mendapati masih terdapat keperluan untuk memanggil semula beberapa saksi dan kemungkinan mendapatkan keterangan saksi baharu bagi mengukuhkan dapatan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang meminta menteri menyatakan punca insiden letupan bom tangan semasa latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini serta langkah keselamatan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Mohamed Khaled berkata insiden sekitar 10:57 pagi pada 16 Jun lepas itu berlaku semasa Latihan Peningkatan Tempur (LPT) yang mengorbankan Lans Koperal Siti Khadijah Sungip serta pengasuh bertugas, Sarjan Norazmi Abu Bakar.
Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah akibat letupan grenad di dalam kubu sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Susulan kejadian itu, Mohamed Khaled berkata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman telah mengarahkan semua latihan membaling bom tangan dihentikan buat sementara waktu, selain melaksanakan pemeriksaan khas secara menyeluruh ke atas semua baki grenad dalam pegangan 1 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (1 SKN RAJD).
Katanya, bagi memperkukuh aspek keselamatan latihan kementerian turut menggariskan beberapa langkah penambahbaikan termasuk pemasangan CCTV di kawasan lapang sasar, penggunaan kamera badan dan mewujudkan Casting Policy bagi peluru dan bahan letupan untuk menetapkan jangka hayat penggunaan.






