KUALA LUMPUR, 17 JUN: Tentera Darat Malaysia (TDM) menghentikan serta-merta semua latihan membaling grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) susulan insiden letupan di Kem Hobart, Gurun yang mengorbankan dua anggotanya semalam.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman berkata keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada siasatan menyeluruh berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, arahan penghentian latihan itu melibatkan semua cabang perkhidmatan dalam TDM, lapor Berita Harian.
“Siasatan akan dijalankan oleh pegawai bertauliah daripada Lembaga Siasatan termasuk Unit Bahagian Letupan dan Bom. Proses siasatan dijangka mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan.
“Sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan hasil siasatan bagi memastikan keselamatan anggota TDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya belum dapat memberikan sebarang perincian lanjut.
“Punca kejadian sedang dikenal pasti oleh Lembaga Siasatan yang telah ditubuhkan. Tindakan susulan akan diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Azhan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Koperal Norazmi Abu Bakar dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) dan Siti Khadijah Sungip dari Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (1 RAJD) yang terkorban dalam kejadian berkenaan.
Katanya, TDM akan memberikan bantuan sepenuhnya kepada keluarga mangsa termasuk pampasan yang layak diterima.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan perincian bantuan tersebut kerana melibatkan maklumat sulit.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.57 pagi semalam, kedua-dua anggota berkenaan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.







