Ayob Khan umum bersara mulai Ahad ini

23 Jul 2026, 1:24 PM
Ayob Khan umum bersara mulai Ahad ini

SHAH ALAM, 23 JULAI: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengumumkan akan menamatkan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad ini selepas hampir 35 tahun berbakti kepada pasukan itu.

Beliau berkata Ahad ini merupakan hari terakhir beliau menyarung pakaian seragam PDRM selepas hampir tiga setengah dekad berkhidmat sebagai anggota polis, lapor Berita Harian.

“Insya-Allah, Ahad ini adalah hari terakhir saya dalam pasukan selepas berkhidmat hampir 35 tahun bersama polis,” katanya pada sidang media selepas pelancaran buku biografinya, From Pendang to Bukit Aman: The Integrity Journey of Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, hari ini.

Ayob pernah memegang beberapa jawatan penting, antaranya Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Jun 2023.

Mengulas perancangannya selepas bersara, beliau berkata berkemungkinan membuka sebuah restoran sehingga orang ramai berpeluang melihatnya dalam suasana berbeza.

“Mungkin nanti orang nampak saya pakai kain pelikat dan baju pagoda sambil menebar roti canai,” katanya berseloroh.

Beliau bagaimanapun berkata keutamaan ketika ini adalah berehat terlebih dahulu walaupun sudah menerima beberapa tawaran selepas persaraan.

“Saya ada menerima beberapa tawaran tetapi belum memikirkannya lagi. Insya-Allah, saya mahu berehat dahulu.

“Mungkin selepas ini akan ada sebuah lagi buku yang ditulis dengan lebih terperinci mengenai operasi-operasi yang pernah saya sertai dan boleh dikongsikan kepada masyarakat,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.