PARIS, 23 JULAI: Beberapa kakitangan kerajaan Perancis dipecat selepas didapati positif dadah menerusi program saringan baharu yang melibatkan kakitangan menteri dan penjawat awam kanan, kata Perdana Menteri Sebastien Lecornu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Ramai yang mengatakan saya melakukan ini untuk menunjukkan teladan. Itu benar. Namun, saya melakukannya terutamanya atas faktor keselamatan," kata Lecornu kepada Paris Match dalam wawancara yang disiarkan pada Rabu.
Beliau berkata ramai kakitangan yang menjalani ujian itu mempunyai akses kepada maklumat yang "amat sensitif."
Pada pertengahan Jun, Lecornu mengarahkan ujian dadah mengejut secara mandatori menggunakan sampel air liur ke atas anggota kerajaan, pegawai kanan dan kakitangan lain yang tertakluk kepada pelepasan keselamatan.
Arahan itu turut menghendaki para menteri menilai implikasi terhadap mana-mana individu yang didapati positif, termasuk kemungkinan dikenakan tindakan tatatertib.
Lecornu berkata langkah itu juga bertujuan memperkukuh kredibiliti kerajaan dalam kempen membanteras jenayah berkaitan dadah.
Menurut beliau, kempen antidadah kerajaan hanya akan terus dipercayai jika mereka yang menerajuinya tiada cacat celanya.
Beliau berkata program ujian itu akan diteruskan secara rawak dan bukan sekadar dilaksanakan sekali sahaja.
Menurut penyiar Perancis TF1, ujian dadah mengejut turut dijalankan di Hotel de Matignon, iaitu kediaman rasmi dan pejabat Perdana Menteri, beberapa minggu lepas.
Lecornu dan semua kakitangannya didapati negatif dalam ujian berkenaan, menurut laporan penyiar itu.
-- BERNAMA-dpa







