PM mahu pembangunan ekonomi utamakan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar angka

23 Jul 2026, 5:38 AM
PM mahu pembangunan ekonomi utamakan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar angka

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan usaha Malaysia dalam memacu pertumbuhan ekonomi, kemajuan teknologi dan pelaksanaan dasar awam mesti berteraskan nilai kemanusiaan, dengan pembangunan hendaklah berfokus kepada usaha mengangkat martabat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, bukannya sekadar mempertingkatkan petunjuk ekonomi.

Perdana Menteri berkata dunia kini sedang memasuki era transformasi teknologi yang berkembang dengan pesat, dipacu oleh kemajuan kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu, pembuatan termaju serta bioteknologi.

"Malaysia mesti terus kekal berdaya saing, produktif serta terbuka kepada pelaburan. Namun, kegiatan ekonomi perlu kembali berpaksikan kepada tujuan dan nilai moral.

“Untuk mengembalikan nilai kemanusiaan, kita perlu menghayati semula satu hakikat yang mudah tetapi sering diabaikan. Ekonomi hanyalah satu wahana untuk mencapai matlamat, bukannya matlamat itu sendiri,” katanya dalam ucaptama pada Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) merangkap Pengarah HEGD 2026 Prof Datuk Dr Saadiah Mohamad.

Anwar berkata meskipun petunjuk ekonomi seperti pertumbuhan, pelaburan, eksport, produktiviti dan disiplin fiskal terus menjadi aspek penting, kerajaan juga harus menilai sama ada pembangunan dilaksanakan dapat memperluas peluang, memperkasakan komuniti dan memastikan rakyat dapat hidup dengan bermaruah.

“Matlamatnya bukan semata-mata mencatat angka lebih tinggi, memperluas tahap penggunaan atau meningkatkan pengumpulan kekayaan, sebaliknya adalah untuk membolehkan rakyat menjalani kehidupan yang bermaruah, rasa selamat dan mempunyai tujuan,” katanya.

Beliau turut berkata banyak pihak, khususnya golongan muda Malaysia semakin bimbang sama ada sistem pendidikan mampu mempersiapkan mereka untuk pekerjaan masa hadapan, serta sama ada kemajuan teknologi termasuk AI akan memperkasakan tenaga kerja atau menggantikan peranan mereka.

Anwar berkata masyarakat juga terus berdepan dengan peningkatan kos sara hidup, manakala golongan petani, nelayan dan usahawan kecil tertanya-tanya sama ada pembangunan ekonomi akan memberi manfaat kepada mereka atau menyebabkan mereka terus ketinggalan.

“Ini adalah kebimbangan sejagat yang melangkaui agenda ekonomi semata-mata. Inilah persoalan asas yang berkaitan dengan nilai kemanusiaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata usaha Kerajaan MADANI dalam membanteras rasuah dan memperkukuh pembaharuan tadbir urus adalah bagi memastikan pembangunan insan menjadi fokus utama dalam pembentukan dasar, sambil menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai budaya dan warisan tradisi negara.

Menyeru kerajaan, sektor perniagaan, pendidik dan golongan muda memainkan peranan masing-masing, beliau berkata usaha pembinaan negara memerlukan integriti, tanggungjawab dan tindakan secara bersama.

“Kemajuan sesebuah negara bukan semata-mata diukur kerana adanya lebuh raya, bangunan, teknologi atau sumber kewangan. Sesebuah negara akan maju apabila memiliki pemahaman yang mendalam tentang keadilan, ilmu, tanggungjawab dan hala tuju masa depan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.