Pakar: Obses karakter fiksyen bukan petanda masalah mental

23 Jul 2026, 10:00 AM
Pakar: Obses karakter fiksyen bukan petanda masalah mental

SHAH ALAM, 23 JULAI: Sama ada watak adiwira, anime, permainan video atau filem, setiap orang mempunyai karakter fiksyen yang pernah meninggalkan kesan dalam hidup mereka.

Ada yang sekadar meminati jalan ceritanya, manakala ada yang menjadikan watak tersebut sebagai sumber inspirasi ketika berdepan cabaran hidup.

Namun apabila minat itu dilihat terlalu mendalam, masyarakat sering cepat membuat tanggapan.

Ada yang melabel individu terbabit sebagai terlalu obses, tidak matang atau mengalami masalah kesihatan mental.

Benarkah meminati karakter fiksyen sehingga terbina hubungan emosi dengan watak tersebut merupakan sesuatu yang tidak normal?

Menurut pakar psikiatri, Dr Mohammad Fitri Zainuddin, tanggapan sedemikian tidak semestinya tepat kerana meminati karakter fiksyen adalah perkara normal yang dialami ramai individu.

Beliau berkata seseorang boleh membina hubungan emosi dengan watak fiksyen melalui fenomena dikenali sebagai parasocial relationship, iaitu hubungan psikologi yang terjalin dengan sesuatu karakter meskipun watak tersebut tidak wujud dalam dunia sebenar.

"Apabila kita bercakap mengenai parasocial relationship, ia bukan bermaksud seseorang itu mempunyai masalah mental.

"Ia adalah fenomena psikologi yang normal dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja," katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Pakar psikiatri Dr Mohammad Fitri Zainuddin dalam program Bicara Semasa di studio Media Selangor, Shah Alam pada 17 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, hubungan tersebut terbentuk apabila seseorang mengikuti perjalanan hidup sesuatu watak dalam tempoh lama sehingga berasa dekat dengan perjuangan, emosi dan nilai yang dibawa karakter berkenaan.

"Sebabkan itu, ada individu yang berasa gembira apabila watak kegemaran mereka mencapai kejayaan, malah turut bersedih apabila karakter tersebut mengalami kehilangan atau pengakhiran yang tragis," katanya.

Dr Mohammad Fitri berkata dunia fiksyen juga berfungsi sebagai ruang yang selamat untuk seseorang meneroka emosi, identiti serta pengalaman hidup tanpa perlu melalui situasi tersebut dalam dunia sebenar.

Melalui karya fiksyen, seseorang boleh memahami pelbagai bentuk emosi, membuat refleksi terhadap diri sendiri dan melihat sesuatu konflik dari sudut pandang yang berbeza.

Justeru, beliau menegaskan minat terhadap karakter fiksyen tidak boleh dijadikan asas untuk membuat kesimpulan bahawa seseorang mengalami masalah kesihatan mental.

Namun katanya, keadaan itu perlu diberi perhatian apabila minat tersebut mula menjejaskan fungsi kehidupan harian seperti pembelajaran, pekerjaan, hubungan dengan keluarga atau rakan serta pengurusan kewangan.

"Kalau minat itu sampai menyebabkan seseorang mengabaikan tanggungjawab, tidak lagi dapat membezakan realiti dengan dunia fiksyen atau memberi kesan kepada kehidupan hariannya, ketika itulah ia perlu dinilai dengan lebih lanjut," katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan istilah obses atau 'Obsessive-Compulsive Disorder (OCD)' bagi menggambarkan seseorang yang terlalu meminati sesuatu karakter.

Katanya, istilah 'obses' yang digunakan dalam perbualan harian berbeza sama sekali dengan 'OCD', iaitu gangguan kesihatan mental yang mempunyai kriteria diagnosis tertentu dan hanya boleh dikenal pasti melalui penilaian profesional.

Dunia fiksyen jadi tempat mencari ketenangan

Dalam masa sama, Dr Mohammad Fitri berkata bagi sesetengah individu, khususnya remaja, dunia fiksyen bukan sekadar medium hiburan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi tempat mencari ketenangan apabila berdepan pelbagai cabaran seperti kesunyian, kemurungan, kebimbangan, pengalaman dibuli atau tekanan hidup.

Beliau berkata watak fiksyen kadangkala memberi harapan kepada individu yang sedang melalui fasa sukar kerana mereka melihat perjuangan, kegagalan dan kebangkitan semula watak tersebut sebagai sesuatu yang dekat dengan kehidupan sendiri.

"Dunia fiksyen menjadi ruang yang selamat untuk mereka meneroka emosi tanpa perlu melakukannya dalam dunia sebenar. Ada yang merasakan hidup mereka kembali bermakna apabila mengikuti perjalanan sesuatu karakter," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan itu tidak berlaku kepada semua peminat karakter fiksyen.

Sebaliknya, minat yang mendalam terhadap dunia fiksyen kadangkala boleh menjadi petunjuk bahawa seseorang sedang melalui fasa kehidupan yang sukar dan memerlukan perhatian serta sokongan daripada orang di sekeliling.

Menurut beliau, keluarga dan rakan-rakan perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku seseorang berbanding terus menghukum atau memperlekehkan minat mereka.

Minat watak antagonis masih dianggap normal

Mengulas kebimbangan sesetengah ibu bapa apabila anak meminati watak antagonis seperti Joker atau Venom, Dr Mohammad Fitri berkata perkara itu juga tidak semestinya menunjukkan seseorang mempunyai kecenderungan kepada keganasan atau masalah psikologi.

Beliau menjelaskan kebanyakan peminat sebenarnya lebih tertarik kepada perkembangan watak (character development), konflik psikologi dan jalan cerita yang kompleks berbanding sifat ganas yang dipaparkan.

"Ramai yang meminati Joker bukan kerana mahu menjadi penjenayah atau melakukan keganasan, tetapi kerana mereka tertarik melihat bagaimana sesuatu watak itu berkembang serta konflik yang dilaluinya," katanya.

Beliau berkata perkara paling penting ialah seseorang memahami batas antara dunia fiksyen dengan dunia sebenar.

Selagi individu mampu membezakan fantasi daripada realiti serta tidak meniru perlakuan negatif yang dipaparkan dalam karya fiksyen, minat terhadap karakter antagonis masih berada dalam lingkungan normal.

"Meminati sesuatu watak bukanlah masalah. Yang penting ialah bagaimana kita mengurus minat itu supaya tidak menjejaskan kehidupan serta memahami bahawa dunia fiksyen dan dunia sebenar mempunyai batas yang jelas," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.