PETALING JAYA, 24 Julai: Sejak kecil, Hezza Ezzickry Helmy sering dihantui rasa ada sesuatu yang 'tidak kena' dengan dirinya. Bagaimanapun, gelora emosi itu terpaksa dipendam rapat kerana bimbang dilabel sekadar mengada-ngada oleh orang sekeliling.
“Sampailah di umur 24 tahun macam tu kot, baru saya rasa, 'Oh okay, maybe I have a problem, maybe I should ask someone,” kata vokalis band indie Empty Page yang lebih mesra disapa sebagai Zic, 32.
Atas dorongan dan sokongan padu rakan-rakan, Zic akhirnya memberanikan diri mencari bantuan profesional. Diagnosis perubatan kemudiannya mengesahkan beliau menghidap Gangguan Kemurungan Major (Major Depressive Disorder - MDD).
Pengalaman hitam itu ternyata mematangkan caranya memandang kehidupan. Dunia yang dahulunya kelam dan suram, perlahan-lahan kembali bernyawa sebaik sahaja beliau mula memahami melodi emosi sendiri dan menerima rawatan yang sepatutnya.

“Once you are on treatment and you accept that you are going through that stuff, you akan sedar hidup ni sebenarnya ada warna,” luah Zic.
Titik pusingan inilah yang akhirnya membina semula jati diri Zic, malah membentuk semula paksi dan falsafah Empty Page dalam menterjemahkan fungsi muzik buat pendengar mereka.
Bangkit dari api kehilangan
Sebelum fasa gelap itu melanda, ketahanan mental Zic dan adiknya, Hezza Ezzackry Helmy (Zac), 25, terlebih dahulu diuji dengan satu tragedi besar. Sebuah kebakaran misteri telah memusnahkan rumah keluarga mereka di Puchong ketika usia mereka masih muda.
Peristiwa itu bukan sekadar mengubah tempat tinggal, malah memaksa mereka berpindah ke Klang.
Namun, di sebalik abu kehilangan itu, takdir menemukan mereka dengan komuniti muzik tempatan. Bersama pemain dram, Aliff Fadhullah, 33, mereka akhirnya mengasaskan Empty Page, sebuah band yang menjadikan pengalaman hidup sendiri sebagai nadi setiap karya.

Nama Empty Page sendiri lahir daripada lirik lagu pertama yang ditulis mereka, “An empty page is all I need,” yang membawa falsafah bahawa setiap manusia bermula seperti sehelai kertas kosong.
"Kita semua ni ialah muka surat kosong. Apa yang kita buat dengan hidup kita, itulah yang kita akan tulis dalam muka surat kosong itu. Empty Page bukan hanya kami, tetapi melambangkan semua orang berhak menulis masa depan sendiri," jelas Zic.
Evolusi bunyi: Dari kemarahan kepada kejujuran
Bagi Empty Page, helaian kosong itu bukan sekadar ruang mencipta lagu, sebaliknya tempat merakam rentetan pengalaman, emosi, dan perjalanan hidup berdepan cabaran kesihatan mental. Kejujuran itulah yang menjadi asas setiap karya mereka.
Mereka tidak pernah mengejar populariti atau mengikut arus industri, sebaliknya hanya mahu meluahkan apa yang dirasai dan menemani pendengar yang sedang melalui fasa sukar.
Perjalanan hidup yang penuh pancaroba ini sedikit demi sedikit mengubah bunyi dan jiwa muzik mereka. Jika pada awal penubuhannya mereka tampil dengan lagu berentak pop punk yang sarat kemarahan dan semangat memberontak, kematangan mengajar mereka bahawa tidak semua emosi perlu diterjemahkan dengan lantang.
Perubahan itu turut dapat dilihat menerusi karya seperti Matahari dan Walau yang tidak lagi menampilkan kemarahan seperti karya awal mereka. Sebaliknya, lagu tersebut membawa mesej tentang harapan, penerimaan dan kekuatan untuk meneruskan kehidupan walaupun berdepan kesukaran.
Menurut Zic, perubahan itu berlaku secara semula jadi seiring fasa kehidupan setiap anggota kumpulan, bukannya kerana mahu mengikut kehendak pasaran.
“I wouldn’t say Empty Page band galau lah. Tapi kitorang band yang jujur,” katanya sambil menegaskan bahawa setiap lagu lahir daripada pengalaman yang benar-benar dilalui, bukannya sekadar imaginasi rekaan.
Teman di hari paling sukar
Ketika sesetengah pihak menganggap lagu melankolis sekadar dendangan pengundang air mata, Empty Page memilih untuk melihatnya dari lensa yang berbeza.
Karya mereka bukan dicipta untuk merobek kembali luka lama, tetapi untuk menyampaikan sebuah pesanan ringkas yang mendalam.
Bagi Aliff, kehidupan sentiasa mempunyai turun naik yang menguji kekuatan emosi.
Jelasnya, perkara paling penting ialah keberanian untuk berkongsi cerita dengan individu yang dipercayai atau golongan profesional agar beban tidak dipikul seorang diri.
"Yang penting is ada kawan just tell the story lah. Just luahkan, jangan simpan seorang. But kita ada tiga orang ni je. So kita orang bertiga ni lah lifeline kita orang," kata Aliff.
Dalam pada itu, Zic berkata Empty Page tidak pernah menganggap lagu mereka mampu menghapuskan semua kesedihan atau menyelesaikan setiap masalah . Sebaliknya, mereka hanya mahu menjadi teman setia yang memegang tangan pendengar ketika melalui hari-hari yang sukar.
“For us as a band yang write this song, I’m sorry to hear whatever you are going through. I know it’s not easy, I know you’re going through tough times, tapi take it one day at a time. Kalau hari ini kita lemas, mungkin esok kita dapat hirup udara yang segar,” pesan Zic.
Muzik mungkin tidak mampu menghapuskan setiap luka, tetapi sebuah lagu mampu menjadi ruang untuk berhenti seketika, menarik nafas, dan mencari kekuatan untuk meneruskan perjalanan.
Kerana bagi Empty Page, setiap manusia mungkin pernah melalui kehilangan, luka, dan hari-hari yang terasa gelap. Namun, selagi masih ada helaian kosong yang belum ditulis, harapan untuk memulakan semula akan sentiasa ada.







