SHAH ALAM, 23 JULAI: Polis Selangor menumpaskan empat sindiket penipuan membabitkan jual beli barangan dalam talian, pelaburan tidak wujud dan 'love scam' menerusi beberapa serbuan di sekitar Kajang dan Serdang yang membawa kepada penahanan 40 warga asing.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua suspek terdiri daripada 36 lelaki dan empat wanita yang dipercayai berperanan sebagai operator khidmat pelanggan bagi sindiket penipuan berkenaan.
Menurutnya, suspek yang berasal dari negara di Asia Timur dan Asia Selatan itu berusia antara 22 hingga 55 tahun serta dipercayai terlibat dengan empat kumpulan sindiket berbeza.
Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan di Bandar Sungai Long pada awal pagi 15 Julai lalu dengan penahanan 15 lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan urusan jual beli barangan dalam talian.
"Hasil tangkapan itu, polis turut merampas 12 telefon bimbit, 12 komputer riba dan satu unit modem dianggarkan berjumlah RM20,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor semalam, lapor Berita Harian.
Shazeli berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan yang beroperasi sejak Mei lalu menggunakan aplikasi Sjifac.cn dan menyasarkan mangsa dari China.
Beliau berkata, serbuan kedua yang dijalankan pada hari sama di Country Heights membawa kepada penahanan 13 lelaki dan dua wanita kerana disyaki terbabit dalam sindiket pelaburan tidak wujud.
Menurutnya, polis turut merampas 13 telefon bimbit, dua komputer riba, tiga naskhah skrip dalam bahasa Cina serta sebuah modem dalam operasi berkenaan.
Sementara itu, katanya, operasi ketiga di Saujana Impian, Kajang pada 18 Julai lalu berjaya menahan empat suspek warga asing yang dipercayai terbabit dalam sindiket 'love scam', iaitu modus operandi yang memperdaya mangsa dengan menjalinkan hubungan sebelum meminta mangsa melakukan transaksi wang.
Beliau berkata, operasi keempat di Bandar Putra Permai pada 20 Julai pula membawa kepada penahanan lima lagi suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam sindiket sama.
Menurut Shazeli, siasatan mendapati terdapat suspek yang memasuki negara ini menggunakan pas pelancong, manakala sebahagian lagi sedang dalam semakan Jabatan Imigresen bagi tujuan pengesahan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.






