SHAH ALAM, 22 FEB: Tiada gangguan bekalan air dilaporkan susulan insiden pencemaran bau di Sungai Kabul, Semenyih yang berlaku sejak Khamis lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali, berkata situasi itu terkawal hasil tindakan pantas pelbagai pihak, termasuk pengaktifan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) serta pelarasan sistem agihan bagi memastikan kestabilan bekalan air.
“Pihak kami turut menggerakkan pasukan untuk membantu kerja pembersihan, menyediakan lori sedutan, serta menempatkan helaian sedut dan joran minyak bagi mengawal pencemaran,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Adam menegaskan, langkah ini adalah sokongan kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Kerajaan Negeri, selain mempertingkatkan pemantauan kualiti air mentah supaya operasi loji rawatan air kekal stabil dan terkawal.
“Air Selangor komited memastikan keterjaminan bekalan air dan operasi loji rawatan berjalan lancar, sekali gus membekalkan air terawat yang bersih dan selamat kepada 9.62 juta pengguna,” katanya.

Menurut LUAS, kerja penyedutan dan pembersihan sisa pencemar di Sungai Kabul giat dijalankan tanpa henti dan dijangka selesai hari ini.
Kerja pemberishan turut melibatkan Indah Water Konsortium dan kontraktor dilantik menggunakan 10 lori tangki berkapasiti antara lima hingga 10 meter padu.
Pembersihan secara manual turut dilaksanakan bagi memastikan lokasi terlibat bebas daripada sisa atau baki pencemar yang boleh menimbulkan risiko.



