SHAH ALAM, 11 FEB: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengerahkan Skuad Elit Air untuk melakukan pemantauan 24 jam di Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.
EXCO Infrastruktur Dato' Izham Hashim berkata pemantauan itu bertujuan untuk mengawal dan mengawasi insiden pencemaran sumber air yang berisiko kepada operasi loji rawatan air (LRA).

"Bermula pada Februari 2026, pasukan Skuad Elit Air LUAS bagi Lembangan Sungai Klang akan mula beroperasi dalam memastikan pemantauan dan kawalan menyeluruh di lokasi strategik yang ditetapkan," katanya.
Tambahnya, pemantauan ini melibatkan pemantauan statik di tiga lokasi strategik di hulu LRA utama negeri, persampelan in-situ setiap jam dan rondaan sebanyak sembilan kali dalam 24 jam melibatkan 14 lokasi berisiko.
Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) turut menyokong pemantauan melalui dwi fungsinya sebagai bekalan sumber air alternatif dan mitigasi pencemaran.
"Sehingga kini, tiada sebarang insiden henti tugas LRA utama Negeri Selangor direkodkan," katanya lagi.

SJAM mula dibangunkan ada Oktober 2023 bagi memastikan bekalan air mentah berterusan semasa insiden pencemaran sumber air. Ia kini memasuki fasa kedua dengan matlamat mengubah sisa air perbandaran atau industri menjadi air boleh digunakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Izham turut mendedahkan bahawa inisiatif Zero Discharge Policy (ZDP) dan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024 sedang giat dijalankan.
"Pelaksanaan ZDP di peringkat awal ini membantu meningkatkan kesedaran pemilik-pemilik industri berkenaan pengurusan pelepasan efluen daripada aktiviti ekonomi mereka," katanya.
Inisiatif ini dijangka mampu meminimumkan beban pencemaran kepada sumber air daripada aktiviti persekitaran.
"Setakat 30 Januari 2026, dilaporkan tiada sebarang insiden gangguan operasi LRA negeri akibat daripada kesan pencemaran sumber air oleh aktiviti industri direkodkan," katanya.
Tambahnya, sehingga Julai 2025, kualiti air sungai utama negeri turut menunjukkan keadaan baik, dengan majoriti minimum Indeks Kualiti Air (IKA) berada di Kelas II dan ke atas.





