SHAH ALAM, 24 JUL: Pelaksanaan dasar ekonomi penjagaan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menjadikan negeri ini sebagai model bandar penyayang di rantau Asia Pasifik.
Menurut EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Shari, pengiktirafan antarabangsa membuktikan sektor penjagaan bukan hanya kerja kebajikan tetapi pemacu ekonomi dan membawa kesejahteraan rakyat.
"Bukan kita yang mendakwa. UN Women sendiri mengiktiraf Selangor sebagai antara contoh Caring Cities (bandar penyayang) di Asia Pasifik kerana kita amal model perkongsian tanggungjawab antara kerajaan, swasta, keluarga dan komuniti atau Care Diamond (Intan Penjagaan).

"Kita angkat tema bahawa penjaga juga perlu dijaga dan dimartabat. Kita mahu ekonomi penjagaan bukan lagi dilihat sebagai kebajikan semata-mata tetapi sebagai sektor perkhidmatan yang mampu menyumbang kepada ekonomi negeri," katanya kepada Media Selangor.
UN Women merujuk entiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Kesaksamaan Jantina dan Pemerkasaan Wanita. Intan Penjagaan adalah model memeta tanggungjawab menjaga kanak-kanak, warga emas, orang sakit dan pengurusan rumah tangga dalam masyarakat.
Anfaal berkata model antara faktor utama Selangor dijadikan rujukan kerana ia mengimbangi pembangunan ekonomi dengan kesejahteraan komuniti tanpa mengetepi nilai kemanusiaan.
Katanya, RS-1 membuka laluan kepada lebih ramai wanita kembali memasuki pasaran pekerjaan melalui sektor penjagaan selepas terpaksa melepaskan kerjaya bagi menjaga ahli keluarga.
Beliau menegaskan pihaknya mahu mengubah tanggapan penjaga hanya membuat kerja sukarela meski mereka juga memerlukan jaringan keselamatan sosial, pendapatan dan pengiktirafan profesional.
Menurutnya, ia membuka peluang kepada wanita yang berhenti kerja untuk menjaga ahli keluarga kembali ke alam pekerjaan melalui latihan dan peningkatan kemahiran dalam sektor itu.
"Kena pecahkan tanggapan bahawa menjaga itu hanya kerja kebajikan. Ramai wanita berkorban menjaga ibu bapa atau ahli keluarga sehingga tiada pendapatan, tiada simpanan dan tiada perlindungan sosial.
"Sebab itu, kita mahu memberi peluang melalui pentauliahan dan peningkatan kemahiran supaya mereka mempunyai masa depan yang lebih terjamin.
"Kesan sektor sosial ini memberi impak kepada ekonomi kerana kita iktiraf peranan penjaga, memastikan wanita kembali bekerja dan membantu melonjakkan prestasi ekonomi negeri," katanya.







