Pemandu van syarikat keselamatan meninggal dunia ketika dirakam keterangan

22 Jul 2026, 9:25 AM
Pemandu van syarikat keselamatan meninggal dunia ketika dirakam keterangan

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pemandu van syarikat keselamatan dalam kejadian cubaan merompak semasa pemindahkan wang tunai dari sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada Isnin lepas, meninggal dunia ketika polis merakamkan keterangannya.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata lelaki tempatan berusia 43 tahun itu rebah ketika sesi tersebut dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada malam hari kejadian.

“Lelaki itu dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan. Bedah siasat selesai dijalankan dan punca kematian dikenal pasti setakat ini disebabkan masalah jantung,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan dilakukan namun polis mendapat petunjuk positif dalam kes itu.

Semalam, polis berkata tindakan pantas seorang pekerja syarikat keselamatan mencampakkan beg berisi wang tunai kira-kira RM82,000 ke dalam van dan menutup pintu menggagalkan cubaan merompak pada petang 20 Julai.

Suspek yang memakai topi keledar dan berpakaian serba hitam juga bertindak merampas sepucuk senjata jenis pump gun daripada pekerja syarikat keselamatan berkenaan sebelum beredar dari lokasi.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.