Koperal polis didakwa amang seksual anak ketiga, mengaku tidak bersalah

22 Jul 2026, 7:08 AM
Koperal polis didakwa amang seksual anak ketiga, mengaku tidak bersalah

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seorang anggota polis berpangkat koperal yang sebelum ini didakwa merogol anak sulungnya kini sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan ketiganya.

Tertuduh berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang kini digantung tugas itu didakwa sebagai bapa kandung telah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan ketiganya yang ketika kejadian berusia 11 tahun 10 bulan bagi tujuan seksual di sebuah rumah di Kuala Kubu Bharu, Rawang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 9 malam hingga 10 malam pada 21 Mei dan kira-kira jam 2 petang keesokan harinya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama serta dibaca bersama Seksyen 16(1) akta berkenaan.

Jika sabit kesalahan, Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, manakala Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana bimbang dia akan mengganggu mangsa.

"Justeru, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan kerana bimbang dia akan mencari mangsa," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Azim Hilmi Aziz yang mewakili tertuduh merayu supaya anak guamnya diberikan ikat jamin dengan alasan kes di Mahkamah Kuala Kubu Bharu melibatkan pertuduhan berbeza.

Beliau berkata tertuduh tidak lagi tinggal bersama kedua-dua mangsa, bersedia mematuhi syarat tambahan mahkamah serta kini menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan itu selepas dimaklumkan ibu tertuduh yang menawarkan diri sebagai penjamin tinggal di Ipoh, Perak dan tidak menetap bersama tertuduh, selain mengambil kira aduan keluarga mangsa yang mendakwa remaja terbabit pernah diganggu selepas tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin dalam kes terdahulu.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin sehingga pihak pembelaan mengemukakan penjamin yang benar-benar dapat memastikan kehadirannya ke mahkamah serta mematuhi syarat tidak mengganggu mangsa.

Kes ditetapkan untuk serahan dokumen dan status penjamin pada 26 Ogos.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.