Kesesakan lori di tapak pelupusan Jeram sementara, operasi diperkemas

21 Jul 2026, 1:00 PM
Kesesakan lori di tapak pelupusan Jeram sementara, operasi diperkemas

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kesesakan lori di tapak pelupusan sampah Jeram yang tular baru-baru ini bukan menggambarkan keadaan operasi semasa, sebaliknya merujuk kejadian sementara pada 11 Julai lalu yang berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira sejam.

Ketua Pegawai Operasi Alam Sekitar Kumpulan Worldwide Holdings Berhad Daniel Liew berkata rakaman berkenaan dikongsi semula sehingga menimbulkan tanggapan seolah-olah kesesakan berlaku secara berterusan.

Ketua Pegawai Operasi Alam Sekitar Kumpulan Worldwide Holdings Berhad Daniel Liew

"Kesesakan itu hanya berlaku seketika dan berjaya diselesaikan dalam tempoh lebih kurang sejam. Ketika operasi berjalan lancar selama sebulan, tiada siapa yang berkongsi.

"Tetapi apabila berlaku satu insiden, video itu menjadi tular sehingga memberi gambaran yang tidak tepat terhadap operasi sebenar," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Menurutnya, keadaan itu bukan berpunca daripada isu berterusan di tapak pelupusan, sebaliknya dipengaruhi beberapa faktor seperti cuaca, keadaan permukaan tanah, gangguan bekalan elektrik dan kemasukan lori dalam jumlah besar pada waktu sama.

Beliau berkata, tapak pelupusan Jeram menerima antara 800 hingga 1,000 lori sehari, menyebabkan kesesakan boleh berlaku dalam situasi tertentu.

"Ia bukan berlaku setiap hari atau setiap minggu. Kali terakhir sebelum kejadian itu berlaku sekitar satu hingga dua bulan sebelumnya. Jadi ia lebih bersifat situasi tertentu, bukannya masalah yang kerap berlaku," katanya.

Daniel berkata, Worldwide Holdings sentiasa menjalankan penyelenggaraan tanah termasuk meratakan laluan dan menyediakan platform operasi bagi memastikan kemasukan lori berjalan lancar.

"Kerja penyelenggaraan tanah merupakan operasi rutin yang dilakukan setiap hari kerana keadaan tapak sentiasa berubah apabila sampah baharu dilupuskan serta kerja pengorekan dijalankan," katanya.

Pandangan dari udara Loji Sisa Ke-Tenaga 1 (WTE) di Jeram Kuala Selangor pada 12 Jun 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, projek sisa ke tenaga (WTE) yang sedang dibangunkan dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang kerana proses pelupusan dapat dipercepatkan sekali gus mengurangkan masa menunggu lori.

Selain penambahbaikan di tapak pelupusan, Daniel mencadangkan syarikat kutipan sisa menyusun jadual penghantaran mengikut slot masa tertentu bagi mengelakkan terlalu banyak lori tiba serentak.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.