CYBERJAYA, 21 JULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus memperhebat operasi penguatkuasaan susulan peningkatan trend penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial (PLS) membabitkan warga asing di negara ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban.
Zakaria berkata berdasarkan rekod JIM, sebanyak 1,279 tangkapan dicatatkan pada 2023 sebelum meningkat kepada 2,644 kes pada 2024 dan 2,630 kes pada 2025.
Beliau berkata sebanyak 451 tangkapan pula direkodkan setakat 15 Julai lepas berkaitan salah guna pas bagi tujuan bekerja di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, yang merupakan kesalahan lazim bagi warga asing di Malaysia.
“Kita tidak akan berkompromi dan kita akan terus memburu mereka secara berterusan, khususnya yang melakukan kesalahan berkaitan dengan penyalahgunaan pas,” katanya dalam sidang media selepas sambutan Hari Imigresen 2026 bertemakan “Melakar Wajah Baharu Imigresen” di sini hari ini, yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mahu tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap warga asing yang menyalahgunakan PLS atau kelonggaran visa untuk bekerja di Malaysia.
Mengenai Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu, Zakaria berkata sebanyak 63,475 pasport telah dikeluarkan sejak ia mula dilaksanakan pada 1 Julai lepas.
Beliau berkata pelaksanaan itu kini memasuki fasa ketiga dengan beberapa pejabat pengeluar pasport di seluruh negara telah mula mengeluarkan PMA versi baharu kepada pemohon.
Selain itu, beliau berkata Program Repatriasi Migran 2.0 yang dilaksanakan kerajaan terus mendapat sambutan apabila merekodkan penyertaan 275,755 warga asing dari 114 negara setakat 15 Julai lepas dengan menjana hasil RM137.76 juta kepada kerajaan.







