PASIR MAS, 20 JULAI: Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol serta merompak seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Tumpat, bulan lepas.
Muhammad Faryzuan Aiman Mat Yatim, 23, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol remaja berkenaan dan sebelum itu telah menyebabkan kecederaan terhadap mangsa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta sebatan.
Lelaki itu juga didakwa merompak telefon bimbit mangsa dengan bersenjatakan sebatang kayu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di kawasan semak Kampung Mesira, Palekbang dekat Tumpat pada 7.40 pagi, 17 Jun lepas.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyha Na’ilah Harizan memohon hukuman setimpal atas faktor kepentingan awam, keseriusan kesalahan serta trauma dialami remaja perempuan itu.
“Mangsa mengalami kecederaan serius termasuk beberapa keretakan pada tulang muka, rongga mata dan hidung, selain kehilangan gigi akibat dipukul sebelum dirogol,” katanya.
Beliau berkata tertuduh juga mengambil kesempatan terhadap keadaan mangsa yang cedera sebelum merogolnya dan kemudian menjual telefon bimbit yang dirompak pada harga RM35.
Muhammad Faryzuan Aiman yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai seorang isteri dan seorang anak yang masih kecil.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan merogol serta penjara lima tahun dan dua sebatan untuk kesalahan merompak dan memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkapan pada 7 Julai lepas.
Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.
-- BERNAMA






