SHAH ALAM, 14 MAC: Seorang lelaki maut ditetak oleh tiga suspek bersenjatakan parang dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di hadapan sebuah restoran di Bukit Kangkar, Tangkak, semalam.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa dikenali sebagai Tong Wei Sheng berusia 30-an disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital akibat cedera di tangan, kaki dan belakang anggota badan, lapor Berita Harian.
Sumber berkata, ketika kejadian mangsa bersama seorang rakannya pergi ke lokasi kejadian untuk berjumpa dengan anggota kumpulan terbabit.
"Terdapat empat individu dilihat sedang berbual di luar sebuah restoran dan tidak lama kemudian muncul beberapa kereta di lokasi.
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa dikejar tiga lelaki masing-masing membawa parang serta menutup muka dengan baju sejuk serta topeng.
"Mangsa yang tidak membawa senjata cuba menahan serangan menggunakan tangan menyebabkan dia cedera parah. Mangsa disahkan meninggal dunia akibat cedera parah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berlaku.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.








