SHAH ALAM, 20 JULAI: Buruh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini selepas mengaku bersalah mendedahkan anak perempuannya yang berusia 20 bulan kepada dadah menyebabkannya positif bahan terlarang itu.
Tertuduh, Mohamad Shahrul Hisham Lailatulazhma, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendedahkan anak perempuannya kepada dadah berbahaya sehingga badan mangsa mengandungi benzodiazepines dan methamphetamine.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Rantau Mas, Rantau Panjang pada jam 10.30 malam, 4 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali serta bon berkelakuan baik.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyha Nai'lah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Harian Metro.
Terdahulu, Siti Aisyha Nai'lah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana gagal melindungi anaknya yang masih kecil sehingga terdedah kepada dadah.
Sementara itu, Mohamad Shahrul Hisham memohon hukuman minimum dengan alasan sudah insaf serta perlu menyara keluarga kerana isterinya tidak bekerja. Beliau turut memaklumkan keadaan anak perempuannya kini sudah berada dalam keadaan baik.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000. Sekiranya gagal membayar denda itu, tertuduh akan dipenjara selama tiga bulan.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin selama setahun serta menjalani perintah khidmat masyarakat selama 36 jam.






