PGA rampas beras seludup, suspek terjun sungai elak ditahan

20 Jul 2026, 1:43 AM
PGA rampas beras seludup, suspek terjun sungai elak ditahan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebuah bot yang membawa 150 kilogram (kg) beras putih disyaki diseludup dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Pangkalan Haram Perdah 2, Kampung Jeram Perdah, dekat Pasir Mas, Kelantan semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata operasi pada jam 5 petang itu turut merampas sebuah enjin galah, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM36,600.

Beliau berkata, ketika rondaan dijalankan, anggota mengesan sebuah bot dipandu seorang lelaki dari arah Thailand menuju ke tebing Malaysia.

"Suspek bagaimanapun bertindak terjun ke Sungai Golok sebelum melarikan diri dengan berenang ke tebing Thailand sebaik menyedari kehadiran polis.

"Hasil pemeriksaan menemukan enam kampit beras putih pelbagai gred seberat 25kg setiap satu yang dipercayai diseludup dari negara jiran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata, bot dan beras berkenaan dirampas sebelum diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati sindiket dipercayai membawa masuk beras melalui laluan tidak sah di sepanjang Sungai Golok dengan menggunakan bot.

"Sindiket dipercayai menggunakan pangkalan haram di kawasan Jeram Perdah bagi memudahkan urusan pemindahan beras dari Thailand ke Malaysia.

"Beras yang dibawa masuk dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Pasir Mas dan kawasan berhampiran.

"Tindakan pantas PGA berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan serta merampas barang kes walaupun suspek berjaya meloloskan diri ke negara jiran," katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.