SHAH ALAM, 28 JUN: Dua lelaki ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dikesan memasuki negara melalui pangkalan haram di Kampung Mentua di sini, petang semalam, dipercayai sebaik pulang dari pusat hiburan di Golok, Thailand.
Kedua-dua suspek berusia 33 dan 45 tahun itu turut didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan selepas mereka ditahan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad berkata, pihaknya mengesan kedua-dua suspek menaiki sebuah perahu yang menghampiri tebing sungai ketika menjalankan pemantauan di lokasi kejadian.
"Susulan itu kita menahan kedua-dua mereka dan ujian air kencing yang dilakukan juga mendapati suspek positif dadah.
"Kedua-dua suspek mengaku menaiki perahu dari Thailand dengan membayar tambang bot RM15 setiap seorang kepada pemandu bot yang tidak dikenali.
"Mereka juga mendakwa pergi ke Thailand pada jam 2 petang kelmarin untuk mengunjungi pusat hiburan di Golok," katanya seperti dilapor BH Online.
Beliau berkata kedua-dua suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.







