ad
AGENSI

Lebih 2,000 individu terkait GISBH jalani pemulihan secara sukarela

8 Feb 2025, 10:36 AM
Lebih 2,000 individu terkait GISBH jalani pemulihan secara sukarela
Lebih 2,000 individu terkait GISBH jalani pemulihan secara sukarela

Oleh DEWI ABDUL RAHMAN

SHAH ALAM, 8 FEB: Lebih 2,000 pengikut GISB Holdings (GISBH) tampil secara sukarela mengikuti program pemulihan al-Riqab kendalian Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mulai 15 Februari.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata inisiatif menerusi program Insan Rabbani mengambil masa dua tahun untuk empat fasa dan perkembangan mereka dipantau dari masa ke masa.

Menurutnya, fasa pertama selama enam bulan membabitkan pemulihan, pemantapan serta pengukuhan (enam bulan) dan dipantau menerusi fasa pascapemulihan, pemantauan dan khidmat sokongan.

"Di peringkat Kerajaan Negeri, kami sangat serius untuk memastikan mereka tidak pulang ke asal seperti dulu," katanya menambah program itu turut melibatkan lebih 1,300 kanak-kanak.

[caption id="attachment_686039" align="aligncenter" width="696"] EXCO Agama Dr Fahmi Ngah (dua, kiri) bersama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (dua, kanan) menyampaikan sumbangan barang persekolahan kepada anak-anak GISBH di Dewan Muzakarah Shah Alam pada 8 Februari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bantuan persekolahan kepada anak-anak GISBH di sini hari ini, yang turut dihadiri EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata proses pemulihan dibuat di pusat perlindungan terpilih menggunakan Modul Istitabah untuk dewasa dan Modul Pendidikan Islam Insani kepada kanak-kanak.

Beliau menambah Kerajaan Negeri bersama persekutuan juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan program pemulihan tersebut berjaya dan lancar.

"Harapan Mais apabila mereka tamat program ini, penerimaan masyarakat positif. Kita tidak mahu mereka berasa terasing, sebaliknya diterima baik masyarakat tanpa sebarang tanggapan," katanya.

Katanya lagi, pendaftaran boleh dibuat di Bahagian Pemulihan Al-Riqab Mais dan turut mengalu-alukan lebih ramai ahli GISBH menyertai program berkenaan.

Terdahulu, Dr Fahmi memberitahu seramai 200 anak-anak bekas ahli GISBH yang selesai menjalani pemulihan akan memulakan pendidikan formal di sekolah kerajaan tidak lama lagi.

Beliau menjelaskan mereka akan dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan tiada yang melanggar syarat pelepasan atau bakal berdepan tindakan.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.