SHAH ALAM, 19 JULAI: Seorang peguam menggesa polis menjalankan siasatan telus, bebas dan menyeluruh susulan insiden kedua membabitkan pelajar terjatuh di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Kinarut.
Datuk Ram Singh berkata siasatan polis tetap perlu diteruskan walaupun Jabatan Pendidikan Negeri Sabah memaklumkan tiada unsur jenayah atau buli dikesan dalam insiden terbaharu itu.
Beliau berkata polis perlu menentukan sama ada kejadian berpunca daripada kecuaian, kelemahan aspek keselamatan, pengabaian tugas atau faktor lain yang mungkin menyumbang kepada insiden berkenaan, lapor Berita Harian.
"Laporan polis ini dibuat bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua pelajar terus terpelihara serta mengelakkan kejadian sama daripada berulang," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Luyang hari ini.
Menurut Ram, beliau dimaklumkan seorang pelajar perempuan tingkatan dua terjatuh di kawasan sekolah sebelum dikejarkan ke hospital, manakala Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata kejadian itu berlaku hanya setahun selepas kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, di sekolah sama yang kini masih menjadi subjek prosiding inkues.
Katanya, insiden berulang dalam tempoh singkat itu menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap aspek penyeliaan pelajar, pengurusan sekolah dan tahap keselamatan kemudahan di sekolah berkenaan.
Ram, yang turut terlibat dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina, berkata pelbagai persoalan mengenai langkah keselamatan sekolah telah dibangkitkan sejak permulaan inkues, namun kejadian hampir sama kembali berlaku.
"Jika terdapat bukti kecuaian atau sebarang kesalahan, tindakan undang-undang yang sewajarnya mesti diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab," katanya.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di asrama perempuan sekolah itu sebelum meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya pada keesokan hari. Prosiding inkues yang sedang berlangsung kini meneliti keadaan sebenar yang membawa kepada kematiannya, termasuk dakwaan berlaku kejadian buli.






