SHAH ALAM, 20 SEPT: Peguam, Datuk Ram Singh membuat laporan polis susulan kebocoran maklumat membabitkan saksi remaja yang diwakilinya dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Ram yang mewakili saksi dikenali sebagai pelajar A, berkata maklumat yang bocor, termasuk kenyataan saksi, telah menyebabkan tekanan yang tidak sepatutnya kepada anak guamnya serta keluarga.
Laporan dibuat di Balai Polis Luyang, Kota Kinabalu kira-kira jam 4.14 petang semalam, lapor portal Sinar Harian.
Beliau dimaklumkan semasa berada di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bahawa kenyataan seorang saksi pelajar, yang sepatutnya direkodkan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, telah dibocorkan di media sosial serta disebarkan secara meluas melalui aplikasi WhatsApp.
“Pendedahan tersebut mengandungi butiran peribadi saksi termasuk nama penuh, alamat rumah serta nombor pengenalan diri.
“Selain itu, satu video di aplikasi TikTok turut memaparkan nama-nama kelima-lima kanak-kanak yang dituduh dalam kes ini,” katanya dalam laporan polis tersebut.
Beliau berkata, kebocoran maklumat itu menimbulkan ketakutan serta tekanan emosi kepada saksi pelajar berkenaan.
“Saya sendiri telah menemui saksi dan ibunya pada pagi ini (semalam) dan mereka dalam keadaan trauma serta menangis akibat pendedahan tersebut.
“Saya percaya tindakan ini melanggar undang-undang yang berkaitan dengan perlindungan saksi dan kanak-kanak, khususnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 serta peruntukan lain yang berkaitan dengan kerahsiaan prosiding mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, laporan berkenaan dibuat bagi membolehkan pihak polis menyiasat kebocoran maklumat sulit tersebut.
Semalam, saksi kanak-kanak itu sepatutnya memberi keterangan selepas saksi kelapan, Azhari Abd Sagap mengakhiri keterangannya. Bagaimanapun, insiden kebocoran itu menyebabkan inkues, yang memasuki hari ke-10, pada Jumaat ditangguhkan ke Isnin selepas saksi kanak-kanak itu dianggap tidak layak secara emosi untuk memberi keterangan.