SHAH ALAM, 19 JULAI: Seorang doktor pakar sebuah hospital swasta dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir pembelaan, lapor Berita Harian.
Tertuduh, Dr Mohd Syafwan Mohd Soffian, 42, didakwa melakukan enam kesalahan amang seksual fizikal terhadap mangsa di kliniknya dalam sebuah hospital swasta di Kuala Terengganu antara 25 September 2022 hingga 10 April 2023.
Bagi pertuduhan ketujuh, beliau didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di lokasi berkenaan kira-kira jam 8 malam pada 9 Oktober 2022.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi setiap enam pertuduhan di bawah Seksyen 14(a), selain perintah pengawasan polis selama dua tahun.
Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(d), tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, satu sebatan dan perintah pengawasan polis selama dua tahun.
Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad bersama Nur Azhani Azman, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Fairuz Jusoh, Ahmad Kamal Abu Bakar dan Arik Zakri Abdul Kadir.






