MMA gesa Belanjawan 2027 tangani kekurangan hampir 11,000 pakar

2 Okt 2026, 7:42 AM
MMA gesa Belanjawan 2027 tangani kekurangan hampir 11,000 pakar

SHAH ALAM, 2 OKT: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada usaha mengekalkan tenaga kerja kesihatan susulan kekurangan hampir 11,000 pakar dan kadar kekosongan jawatan jururawat sekitar 18 peratus.

Presidennya, Dr L Sivanaesan berkata, seramai 3,494 doktor meninggalkan Kementerian Kesihatan (KKM) antara 2019 hingga 2023, membabitkan 2,385 pegawai perubatan tetap dan 1,109 pakar, lapor Berita Harian.

Menurutnya, peletakan jawatan dalam kalangan pakar meningkat 57 peratus sepanjang tempoh itu, manakala kadar pengisian jawatan menurun daripada 96 kepada 83 peratus.

“Setiap jawatan yang tidak diisi menambahkan tekanan kepada tenaga kerja yang sedia terbeban dan berisiko melemahkan keupayaan sistem kesihatan awam,” katanya.

Beliau berkata kehilangan pakar berpengalaman bukan sahaja mengurangkan jumlah doktor, malah turut menjejaskan pengalaman klinikal, pengetahuan institusi serta keupayaan melatih dan menyelia generasi baharu.

Sehubungan itu, MMA mencadangkan tempoh perkhidmatan di bawah skim kontrak diambil kira dalam penentuan senioriti dan kenaikan gaji, selain menyediakan laluan kenaikan pangkat yang lebih telus dan berasaskan merit kepada pakar serta subpakar.

Persatuan itu turut menggesa syarat latihan subkepakaran, kadar bayaran tugas dalam panggilan, elaun pakar, Bayaran Insentif Wilayah serta waktu kerja dikaji semula supaya lebih selaras dengan beban tugas semasa.

Dalam masa sama, MMA mahu peruntukan Perkhidmatan Doktor Udara ditingkatkan bagi memastikan penyelenggaraan, operasi dan keperluan peralatan mencukupi, selain kadar elaun petugas yang tidak disemak sejak 1978 dinaikkan.

Dr Sivanaesan berkata Belanjawan 2027 juga perlu memperkukuh penjagaan primer dan pencegahan penyakit tidak berjangkit menerusi pengesanan serta rawatan awal diabetes, hipertensi dan penyakit lain.

MMA turut mencadangkan penubuhan Bahagian Pembangunan Penjagaan Kesihatan Swasta di bawah KKM bagi menyelaras lebih 11,000 klinik pengamal perubatan am sebagai rakan strategik sistem kesihatan negara.

Selain itu, peruntukan RM10 juta dicadangkan bagi mendigitalkan proses pendaftaran dan pelesenan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta menerusi satu platform dalam talian bersepadu.

“Mengekalkan tenaga kerja tidak boleh terus dianggap sebagai aspirasi jangka panjang sedangkan kekurangan tenaga kerja sudah memberi kesan kepada sistem,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.