SHAH ALAM, 30 OKT: Hanya tiga daripada 73 doktor pakar warga Malaysia yang pulang dari luar negara memilih untuk kembali berkhidmat di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh 2021 hingga 2025.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata bagaimanapun baki 70 doktor pakar yang pulang ke tanah air memilih untuk berkhidmat di sektor swasta dan badan berkanun.
“Tidak semua ‘ground is greener next door’ (rumput di seberang nampak lebih hijau) sehingga mereka memijaknya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, semalam.
Dr Dzulkefly berkata bagi menangani isu penghijrahan petugas kesihatan ke luar negara, kementeriannya sedang menumpukan usaha memperbaiki skim kerjaya termasuk berkaitan upah dan gaji supaya lebih kompetitif dan menarik.
Beliau menjelaskan, pelbagai langkah sedang dirangka bagi memastikan tenaga mahir dalam bidang kesihatan khususnya doktor pakar, pegawai perubatan (MO) dan jururawat terus kekal berkhidmat dalam sistem kesihatan awam.
“Ini sedang dilakukan antara lain kita perkenalkan untuk kekalkan pakar kita,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa Kementerian Kesihatan Singapura sedang merekrut doktor pakar dan jururawat dari Malaysia untuk berkhidmat di fasiliti kesihatan negara itu, Dr Dzulkefly menjelaskan perkara itu tidak benar.
Katanya, hasil semakan dan perbincangan dengan rakan sejawatnya di Singapura mendapati aktiviti tersebut dilakukan oleh agensi swasta dan bukannya inisiatif rasmi kerajaan republik berkenaan.
“Jujurnya saya juga telah menghubungi Menteri Kesihatan Singapura. Pada awalnya, saya mendapat pengesahan daripada beliau bahawa ini adalah kegiatan agensi swasta.
“Beliau sendiri menyebut kepada saya dan rasa terkilan. Justeru, kita akan adakan libat urus seterusnya dan saya mahu perkara ini disusuli kerana ini bukan pertama kali saya ambil tindakan,” katanya.




