Pokok tumbang hempap kereta di Jalan Tun Razak, pemandu cedera parah

19 Jul 2026, 12:00 AM
Pokok tumbang hempap kereta di Jalan Tun Razak, pemandu cedera parah

SHAH ALAM, 19 JULAI: Seorang lelaki cedera parah selepas kereta Honda Accord dipandunya dihempap sebatang pokok yang tumbang berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 10.11 malam sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) ke lokasi kejadian.

Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Mohd Rohafizam Othman, berkata anggota bomba mendapati seorang lelaki berusia 43 tahun masih berada di dalam kenderaan yang dihempap pokok sebaik tiba di lokasi.

"Anggota operasi berjaya mengeluarkan mangsa pada jam 10.47 malam.

"Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kaki sebelum diserahkan kepada ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, rakaman kamera papan pemuka yang tular di media sosial memaparkan detik pokok berkenaan tumbang secara tiba-tiba ke laluan kenderaan ketika beberapa kenderaan sedang melalui jalan tersebut.

Satu lagi rakaman menunjukkan kesesakan lalu lintas yang panjang di Jalan Tun Razak susulan kejadian berkenaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.