Ahli Parlimen Shah Alam gesa pantau, senggara pokok lebih 40 tahun

18 Feb 2026, 12:30 AM
Ahli Parlimen Shah Alam gesa pantau, senggara pokok lebih 40 tahun
Ahli Parlimen Shah Alam gesa pantau, senggara pokok lebih 40 tahun
Ahli Parlimen Shah Alam gesa pantau, senggara pokok lebih 40 tahun

SHAH ALAM, 18 FEB: Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meningkatkan kerja pemantauan terhadap pokok yang melebihi usia 40 tahun di seluruh kawasan bandar raya itu.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan perlu mengutamakan penyelenggaraan terhadap pokok berusia lebih empat dekad bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Menurutnya, MBSA telah melaksanakan kawalan serta-merta melalui penugasan anggota penguat kuasa di laluan Persiaran Tun Arshad Ayub susulan insiden pokok tumbang kelmarin.

“MBSA turut menjalankan penutupan sementara jalan bagi memastikan kerja pemantauan, pengalihan pokok tumbang dan pembersihan dapat dilaksanakan dengan terancang, selamat dan terkawal.

“Puluhan pokok di lokasi tersebut telah dipangkas dan pokok mati ditebang mengikut keperluan teknikal pada awal Februari sebelum kejadian berlaku.

“Biarpun ada program berkala, saya menggesa agar MBSA memberi keutamaan dan meningkatkan usaha kerja pemantauan dan penyelenggaraan pokok yang telah melebihi usia 40 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azli meluangkan masa melawat dua pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang cedera selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di sebuah pangsapuri di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, semalam.

Susulan kejadian itu, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mangsa Dr Nur Shahidah Ab Aziz, 39, dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf, 42, masing-masing berkhidmat sebagai pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia di UiTM Shah Alam.

Azli turut memaklumkan pegawai perubatan ortopedik yang merawat kedua-dua pensyarah itu memaklumkan mereka dalam keadaan stabil dan kini berada dalam pemerhatian pihak hospital sebelum dibenarkan pulang serta menjalani rawatan susulan.