SHAH ALAM, 18 JULAI: Isu banjir yang membelenggu penduduk Taman Desa Seroja, Kajang selama 30 tahun bakal berakhir menerusi pembinaan kolam tadahan khas bagi menyokong sistem perparitan di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong berkata cadangan pembinaan itu turut mendapat kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor untuk meneliti punca utama limpahan air sebelum pelaksanaan pelan reka bentuk kolam tadahan.
“Ini merupakan satu perkembangan positif kepada komuniti setempat, kerana syarikat TNB juga menyatakan kesediaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera di tapak berkenaan.
“Penglibatan aktif pihak TNB ini berjaya menyelesaikan masalah teknikal utama yang sebelum ini menjadi punca usaha naik taraf sistem perparitan di kawasan tersebut tertangguh selama tiga dekad,” katanya menerusi kenyataan.
David berkata pihaknya akan memantau rapat setiap perkembangan pembinaan kolam tadahan tersebut bagi memastikan projek berjalan lancar tanpa sebarang penangguhan, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.
Sementara itu, David memaklumkan, proses kelulusan kerja-kerja jalan dan pembangunan di Cheras Idaman bukan berada dibawah kuasa ADN, sebaliknya tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa tempatan (PBT).
Jelasnya, peranan wakil rakyat adalah menyampaikan aduan dan suara masyarakat kepada agensi berkaitan serta memantau agar tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan segera demi kepentingan penduduk.
"Setiap kelulusan bagi kerja-kerja melibatkan jalan dan pembangunan tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya, ia perlu melalui penelitian serta penilaian teknikal oleh pegawai Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengikut SOP, garis panduan dan peraturan yang berkuat kuasa.
"Sebarang permohonan hanya boleh diluluskan selepas memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh jabatan teknikal berkaitan.
"Justeru, proses kelulusan adalah tertakluk kepada pertimbangan profesional pegawai yang diberi kuasa, bukannya keputusan individu atau wakil rakyat," katanya.







