Kempen Kajang bersih edar apron khas, perkasa imej bersih peniaga

1 Jun 2026, 3:09 AM
Kempen Kajang bersih edar apron khas, perkasa imej bersih peniaga
Kempen Kajang bersih edar apron khas, perkasa imej bersih peniaga

SHAH ALAM, 1 JUN: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang akan mengedarkan apron khas kepada penjaja dan pengusaha kedai makan menerusi Kempen Kajang Bersih, Kajang DiHatiku (KBKD).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran kebersihan selain memperkukuh imej penjaja serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur.

Menurutnya, apron berkenaan akan diedarkan kepada penjaja dan peniaga kedai makan di sekitar Kajang sebagai tanda sokongan serta penghargaan kepada mereka yang bersama-sama menjaga kebersihan dan imej bandar itu.

Katanya, aspek kebersihan bukan sahaja penting bagi memastikan keselesaan pelanggan malah memainkan peranan besar dalam membentuk imej positif perniagaan dan bandar secara keseluruhan.

“Apron ini akan diedarkan kepada penjaja dan peniaga kedai makan di sekitar Kajang sebagai tanda sokongan serta penghargaan kepada mereka yang bersama-sama menjaga kebersihan dan imej bandar Kajang,” katanya menerusi Facebook.

Beliau menjelaskan pengedaran apron itu turut menjadi simbol komitmen bersama antara peniaga dan komuniti dalam menjayakan agenda kebersihan bandar.

Tambah David, penglibatan komuniti peniaga amat penting kerana mereka merupakan antara golongan yang berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setiap hari.

“Penglibatan komuniti peniaga amat penting memandangkan mereka merupakan antara golongan yang berinteraksi secara langsung dengan masyarakat setiap hari,” ujarnya.

Menurut beliau, usaha tersebut bukan sahaja memperkemaskan penampilan penjaja malah menggalakkan amalan kebersihan yang konsisten dalam kalangan pengusaha makanan.

Katanya, KBKD dilaksanakan bagi menyemai budaya menjaga kebersihan serta menggalakkan tanggungjawab bersama dalam memastikan Kajang kekal bersih dan ceria.

Beliau berharap kempen itu mendapat sokongan peniaga, penjaja dan masyarakat setempat agar budaya kebersihan terus menjadi amalan harian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.