SHAH ALAM, 19 JULAI: Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Cina Malaysia (PIPCM) menyambut baik pelaksanaa Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), namun berharap kerajaan memperjelas tanggungjawab dan peranan ibu bapa dalam penguatkuasaan undang-undang itu, termasuk sama ada mereka perlu membantu menutup akaun media sosial anak-anak.
Pengerusinya, Loh Tian Hong, berkata ibu bapa secara umumnya menyokong usaha kerajaan memperkukuh keselamatan siber, namun masih terdapat pelbagai persoalan dan ketidakpastian yang memerlukan penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa.
"Masih ramai kanak-kanak berusia bawah 16 tahun menggunakan media sosial. Oleh itu, ibu bapa masih tidak jelas bagaimana langkah kawalan ini akan dilaksanakan.
"Media sosial bukan sesuatu yang buruk semata-mata. Ia ibarat pisau bermata dua, namun jika diurus dan dipantau dengan baik, ia tetap boleh dimanfaatkan," katanya ketika ditemui Media Selangor.
Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Puay Chai 2 berkata, antara kebimbangan utama ibu bapa ialah tindakan yang mungkin dikenakan terhadap mereka atau anak-anak sekiranya kanak-kanak masih berjaya membuka akaun media sosial melalui saluran atau kaedah lain.
"Ibu bapa bimbang akan dikenakan saman, sekali gus mencetuskan kegusaran yang tidak perlu. Pada masa sama, tidak mustahil ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai pegawai penguat kuasa, mendakwa anak-anak melanggar peraturan dan menuntut bayaran denda dalam tempoh tertentu," katanya.
Kerajaan diseru perjelas garis panduan
Loh berkata, ibu bapa berharap kerajaan dapat memberikan penerangan yang lebih menyeluruh, jelas dan tepat mengenai kandungan ordinan berkenaan.
"Mereka mahu memahami dengan jelas tanggungjawab yang perlu dipikul, contohnya sama ada perlu membantu anak-anak menutup akaun media sosial. Justeru, butiran pelaksanaan serta skop tanggungjawab perlu diperincikan bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan," katanya.
Mengenai cadangan sekatan penggunaan media sosial bagi golongan berusia 13 hingga 16 tahun, beliau berpandangan kerajaan boleh mempertimbangkan pendekatan lebih fleksibel dengan membenarkan akses secara terkawal berbanding mengenakan larangan sepenuhnya.
"Pada usia ini, kanak-kanak sudah mempunyai tahap kematangan untuk membezakan perkara yang baik dan buruk. Selain tujuan pembelajaran, media sosial juga boleh meningkatkan kesedaran terhadap isu semasa, meluaskan perspektif dan menambah pengetahuan," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang kelonggaran perlu disertai pengawasan yang berkesan, manakala ibu bapa mesti memainkan peranan aktif dalam memantau penggunaan media sosial oleh anak-anak.
"Dengan kelonggaran yang bersesuaian, ibu bapa masih boleh mengawal serta membimbing anak-anak dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata, anak-anak boleh dibenarkan memuat turun dan menggunakan platform media sosial dengan syarat ibu bapa dapat menjejak penggunaan mereka serta menapis kandungan yang tidak sesuai.
"Setakat yang saya faham, terdapat pelbagai alat kawalan ibu bapa yang boleh mengehadkan tempoh penggunaan media sosial oleh kanak-kanak. Apabila had masa penggunaan dicapai, sistem akan memberi amaran dan ibu bapa juga boleh memutuskan sambungan internet bagi memperkukuh pengawasan," katanya.
Elak kanak-kanak bawah 13 tahun akses media sosial
Bagi kanak-kanak berusia bawah 13 tahun, Loh berpandangan mereka sebaiknya tidak didedahkan kepada media sosial terlalu awal.
Katanya, kini ramai kanak-kanak mula menggunakan telefon pintar seawal usia lima tahun dan terdedah kepada pelbagai platform media sosial sepanjang proses pembesaran mereka. Malah, ada yang lebih mahir menggunakannya berbanding orang dewasa, sedangkan masih banyak kandungan dalam talian yang tidak sesuai untuk mereka.
"Kanak-kanak kini terdedah kepada teknologi pada usia yang semakin muda. Penguasaan mereka terhadap media sosial mungkin lebih tinggi berbanding orang dewasa, tetapi tidak semua kandungan sesuai untuk mereka," katanya.
Beliau berkata, jika kanak-kanak dalam lingkungan usia itu ingin mengakses media sosial, ibu bapa seharusnya menemani mereka ketika melayari internet dan bukannya membiarkan mereka menggunakannya tanpa pemantauan.
"Sekiranya anak-anak pada usia ini ingin melayari media sosial, ibu bapa boleh berkata, 'kita tengok sama-sama'. Seperti dahulu sebelum internet berkembang pesat, kita menemani dan membimbing anak-anak dalam persekitaran yang selamat ketika mengakses maklumat dalam talian," katanya.
ONSA menerusi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu, sekali gus menandakan langkah penting Malaysia ke arah mewujudkan persekitaran siber yang lebih selamat untuk kanak-kanak.
Penyedia perkhidmatan berlesen (seperti platform media sosial) memikul tanggungjawab utama untuk memastikan keselamatan pengguna, terutamanya golongan bawah umur dan keluarga.







