Akta Keselamatan Dalam Talian wujudkan persekitaran selamat untuk kanak-kanak

7 Jan 2026, 12:00 PM
Akta Keselamatan Dalam Talian wujudkan persekitaran selamat untuk kanak-kanak

SHAH ALAM, 7 JAN: Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 menjadi langkah penting melindungi kanak-kanak daripada ancaman serta ketagihan dunia digital, seiring kebimbangan ibu bapa terhadap penggunaan gajet yang semakin sukar dikawal.

Akta itu juga dilihat mampu mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, khususnya untuk menangani lambakan kandungan tidak sesuai yang mudah diakses oleh kanak-kanak tanpa sekatan.

Seorang eksekutif telekomunikasi, Sharifah Zabedah berkata ONSA diharap dapat membantu ibu bapa memantau dan mengawal aktiviti anak-anak di alam maya, terutama jenis kandungan yang ditonton atau dilayari setiap hari.

Sharifah Zabedah

“Antara kebimbangan utama ibu bapa ialah kandungan tidak berfaedah yang mudah ditiru dan dikongsi. Kalau kandungan itu boleh ditapis atau dikawal, saya rasa ini satu langkah yang sangat baik untuk melindungi kanak-kanak,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Shah Alam, semalam.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman individu tidak bertanggungjawab di alam maya atau ‘online predator’ yang berpotensi mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak sekiranya tiada kawalan dan pemantauan berkesan.

Pandangan sama dikongsi seorang bapa, Sasetharan Muthusamy, yang menyifatkan ONSA sebagai akta yang memang diperlukan bagi melindungi kanak-kanak daripada salah guna internet dan pengaruh negatif dunia digital.

Sasetharan Muthusamy

“Penggunaan gajet yang berlebihan boleh memberi kesan buruk, malah dalam permainan video pun anak-anak boleh berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali,” katanya.

Sementara itu, seorang juruteknik, Mohd Hafiz Mohd Khozan berpandangan walaupun ONSA merupakan langkah positif, keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana penguatkuasaan dan penapisan kandungan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Akta ini bagus untuk mewujudkan persekitaran selamat, tetapi jika kandungan dalam talian masih sama seperti sebelum ini, ia akan jadi kurang berkesan. Kawalan penggunaan internet sebenarnya perlu bermula dari rumah,” katanya.

Mohd Hafiz Mohd Khozan

ONSA diluluskan Parlimen pada Disember 2024 dan diwartakan pada 22 Mei 2025 berfungsi sebagai pelengkap kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Akta itu menggariskan kerangka perundangan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian serta perlindungan pengguna, terutama kanak-kanak dan keluarga.

ONSA juga menetapkan tanggungjawab pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian, termasuk langkah keselamatan, perlindungan kanak-kanak, dan mekanisme pelaporan.

Peruntukan 'deeming' di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 turut berkuat kuasa, menjadikan platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan tertakluk kepada kerangka pelesenan sedia ada dan undang-undang Malaysia, termasuk ONSA.