SHAH ALAM, 26 MEI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan 37 sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk platform media sosial sejak enam bulan lalu.
Komunikasi Korporat SKMM menerusi kenyataan memaklumkan sesi itu bagi membincang dan memperkukuh keselamatan dalam talian serta melindungi kanak-kanak daripada kandungan serta interaksi memudaratkan.
Menurutnya, sesi itu juga sebagai langkah persediaan mewjudkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mula berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.
“Libat urus ini menumpukan kepada langkah pengurangan dan moderasi proaktif terhadap kandungan memudaratkan dalam talian antaranya bahan penderaan seksual kanak-kanak, penipuan dan buli siber.
“Perbincangan turut meliputi langkah pencegahan, pengesahan umur, kawalan ibu bapa dan penguatkuasaan syarat umur minimum 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial di Malaysia.
“Langkah ini bertujuan mewujudkan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan usia golongan muda selain penekanan terhadap pengawasan ibu bapa, perlindungan serta reka bentuk platform yang lebih bertanggungjawab,” katanya.
Peranan ONSA seiring dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi memastikan penyedia platform digital bertanggungjawab dan tidak membiarkan ekosistem mereka dieksploitasi oleh jenayah siber yang menyasar golongan bawah umur.
Menerusi kenyataan sama, sebanyak enam sesi diadakan sebelum ONSA dikuatkuasa, manakala 31 sesi lagi dilaksana selepas akta itu diwujudkan.
Jelasnya, SKMM turut mengadakan lawatan kerja dan perbincangan teknikal di Singapura yang disertai wakil Kementerian Komunikasi, polis dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
“Selain itu, sesi penyelarasan berterusan bersama penyedia platform juga dilakukan bagi memastikan kelancaran dan kesiapsiagaan pematuhan syarat pengesahan umur.
“Komitmen berterusan menerusi Regulatory Sandbox ini penting bagi mengenal pasti pertimbangan operasi, teknikal dan pematuhan agar reka bentuk platform di Malaysia menjadi ruang digital yang selamat, bertanggungjawab dan bebas daripada pemangsa siber,” katanya.







