Citrawarna 2026: Jalan Raja ditutup seminggu mulai 21 Julai

18 Jul 2026, 12:08 AM
Citrawarna 2026: Jalan Raja ditutup seminggu mulai 21 Julai

SHAH ALAM, 18 JULAI: Jalan Raja di hadapan Dataran Merdeka akan ditutup sepenuhnya bermula jam 12 tengah hari pada 21 Julai hingga 5 pagi, 27 Julai sempena penganjuran Citrawarna 2026.

Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan penutupan itu bagi membolehkan kerja persiapan, operasi acara serta proses pembongkaran dilaksanakan dengan selamat dan teratur.

Selain Jalan Raja, beberapa laluan utama di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur turut ditutup sepenuhnya sempena raptai dan Citra Perarakan atau Colours of Parade, yang menjadi antara acara utama Citrawarna 2026.

Raptai dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 24 Julai, dari jam 9 malam hingga 2 pagi, manakala perarakan kebudayaan berskala mega itu akan diadakan pada Sabtu, 25 Julai, dari jam 6 petang hingga 11 malam.

Sepanjang tempoh berkenaan, laluan perarakan dari Bulatan Dato’ Onn ke Jalan Parlimen sehingga Jalan Raja Laut, Jalan Esfahan, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak akan ditutup sepenuhnya.

Penutupan turut melibatkan laluan dari susur masuk Jalan Kinabalu menuju ke Jalan Sultan Hishamuddin.

Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda lalu lintas dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.

Pengunjung yang mahu ke Dataran Merdeka juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam.

Bagi memudahkan perjalanan pengunjung, Grab akan menawarkan baucar promosi e-hailing bernilai RM3 kepada 1,000 pengguna terawal setiap hari dari 24 hingga 26 Julai.

Citrawarna 2026 akan berlangsung dari 24 hingga 26 Julai di Dataran Merdeka dengan mengetengahkan kepelbagaian seni, budaya, warisan dan gastronomi Malaysia sempena Kempen Melawat Malaysia 2026.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai penutupan jalan, jadual program, promosi hotel dan kod promosi Grab menerusi akaun rasmi Citrawarna di @citrawarna.my dan @malaysia.truly.asia serta portal Malaysia Travel

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.