Polis tingkat sekatan jalan raya, cegah pemandu mabuk, khayal dadah

9 Apr 2026, 7:48 AM
Polis tingkat sekatan jalan raya, cegah pemandu mabuk, khayal dadah

SHAH ALAM, 9 APRIL: Polis akan meningkatkan penguatkuasaan sekatan jalan raya bagi membendung kes kemalangan akibat pemandu mabuk dan khayal dadah.

Ia susulan sebanyak 31 kes kemalangan maut akibat memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah direkodkan tahun lalu, meningkat berbanding 27 kes pada 2024, lapor Berita Harian.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, berkata meski peningkatan tidak ketara tetapi kes tersebut memberi kesan teruk sehingga kehilangan nyawa.

"Pelaksanaan sekatan jalan raya dan ujian saringan rawak terbukti antara pendekatan efektif bagi membendung kesalahan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

"Operasi sebegini bukan sahaja mampu mengesan pesalah secara langsung, malah memberikan kesan pencegahan psikologi kepada pengguna jalan raya," katanya.

Dalam pada itu, Muhammed Hasbullah berkata, kes itu juga berpunca daripada tingkah laku pemandu yang boleh dielakkan dan pihaknya memandang perkara ini dengan penuh keprihatinan dan kesungguhan kerana ia membabitkan kehilangan nyawa yang menjejaskan pihak lain.

"Susulan itu, JSPT kekal komited dalam memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan kecekapan siasatan dan memperhebat usaha advokasi keselamatan jalan raya,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Muhammed Hasbullah berkata, kes itu turut memberi cabaran dan pihaknya akan memberi tumpuan lebih holistik termasuk membentuk kesedaran, tanggungjawab dan nilai moral dalam kalangan pengguna jalan raya.

"Sikap individu yang masih memandang ringan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kes ini terus berlaku," katanya.

Muhammed Hasbullah berkata, kolaborasi strategik bersama pihak media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan terus diperkukuh bagi memperluaskan capaian mesej keselamatan jalan raya.

"Segala usaha ini dilaksanakan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara dan insiden kehilangan nyawa akibat kecuaian dapat diminimumkan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.