Kisah Mili Nail Spa: Bermula dengan RM500, kini jadi usahawan berjaya

18 Jul 2026, 3:00 AM
Kisah Mili Nail Spa: Bermula dengan RM500, kini jadi usahawan berjaya
Kisah Mili Nail Spa: Bermula dengan RM500, kini jadi usahawan berjaya
Kisah Mili Nail Spa: Bermula dengan RM500, kini jadi usahawan berjaya
Kisah Mili Nail Spa: Bermula dengan RM500, kini jadi usahawan berjaya

KUALA SELANGOR, 18 Julai: Berbekalkan modal RM500 dan menawarkan spa dari rumah ke rumah, V Sharmili, tidak menyangka impiannya membuka spa sendiri menjadi kenyataan.

Kini, premis Mili Nail Spa di Saujana Utama, Sungai Buloh bukan sahaja punca utama rezekinya tetapi simbol keberanian wanita muda itu yang bermula dari bawah sejak 10 tahun lalu.

Wanita nekad mengusahakan perniagaan Mili Nail Spa mulai 2023 hasil pengalamannya sebagai ‘gadis spa’ sejak berusia 19 tahun.

Usahawan muda V Sharmili, 30 melakukan rawatan membentuk kening kepada pelanggan di Mili Nail Spa, Saujana Utama, Sungai Buloh. Foto ADIBAH IZAM/MEDIA SELANGOR

Penglibatan wanita berumur 30 tahun yang mesra disapa sebagai Mili itu dalam dunia perniagaan didorong sokongan dan sambutan baik pelanggan dari pelbagai kaum.

“Saya memulakan kerja sambilan sebagai kakitangan spa, kemudian saya nekad mencuba sendiri membuka perniagaan spa dari rumah ke rumah, dengan hanya bermodal RM500 sahaja.

“Seronok sebab ramai pelanggan saya menyokong dan beri dorongan untuk saya buka spa sendiri. Lebih 90 peratus pelanggan saya adalah dari orang Melayu. Sehingga sekarang, mereka masih datang ke kedai saya,” katanya yang menjalankan perniagaan sejak lebih tiga tahun lalu.

Mili Nail Spa menawarkan pelbagai perkhidmatan penjagaan diri dan kecantikan, termasuk pemakaian inai, rawatan manicure dan pedicure, salun rambut, rawatan membentuk kening serta urutan badan. Kepelbagaian itu memenuhi keperluan kebanyakan pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

V Sharmili memberi tumpuan ketika melakukan rawatan wajah kepada pelanggan. Beliau membangunkan perniagaan itu hasil pengalaman lebih sedekad dalam industri kecantikan. Foto ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Kena tipu

Namun, perjalanan membina jenama sendiri bukanlah mudah. Mili tidak terkecuali berdepan cabaran dalam dunia perniagaan apabila ditipu pemilik premis ketika sedang bertatih dalam memulakan jenama sendiri.

Pemilik premis tersebut sengaja menaikkan kadar sewa sebanyak tiga kali dalam setahun bagi memberi tekanan kepada perniagaannya sekali gus melanggar perjanjian sewa-beli yang dipersetujui.

“Pada 2023, saya memulakan perniagaan dengan menyewa separuh kedai sahaja tetapi pemilik premis cuba menipu dengan menaikkan kadar sewa sebanyak tiga kali setahun, tanpa alasan yang munasabah.

“Jadi, saya terpaksa mencari premis baharu lain. Syukur, sekarang lebih tenang dan perniagaan juga berjalan dengan baik,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Berbekal modal RM500 dan menawarkan spa dari rumah ke rumah, V Sharmili tidak menyangka impiannya membuka spa sendiri menjadi kenyataan. Foto Foto ADIBAH IZAM/MEDIA SELANGOR

Kejayaan Mili juga didorong pelbagai insiatif kerajaan boleh dimanfaatkan usahawan belia merangkumi geran permulaan, latihan keusahawanan serta pembiayaan mikro yang berupaya membantu anak muda mengembangkan perniagaan.

Anak kelahiran Perak itu menerima pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sebanyak RM10,000 sebagai modal awal selain bimbingan keusahawanan dan pemantauan berterusan.

Bantuan tersebut membantunya dalam operasi perniagaan meskipun beliau tidak memiliki sebarang sijil pendidikan rasmi atau pengalaman dalam ilmu selok-belok perniagaan.

“Saya tiada pengalaman berniaga, saya hanya menggunakan kemahiran sedia ada untuk memulakan perniagaan ini. Syukur juga semuanya dipermudahkan, malah saya turut dibantu tunang sebagai tulang belakang,” katanya.

Untuk perancangan jangka panjang dan hala tuju syarikat, Mili memasang impian untuk menjadi tenaga pengajar atau membuka cawangan Mili Nail Spa di lokasi lain di seluruh negara.

Berbekal prinsip tidak mudah putus asa, beliau sempat menitipkan pesanan kepada golongan muda untuk terus berusaha dan tidak gentar untuk mencuba atau meneroka bidang kerjaya yang diminati.

“Yang penting, sebagai seorang usahawan muda, kita perlu rajin berusaha serta tidak mudah mengalah dan perlu sentiasa berdikari. Jangan peduli apa yang orang kata.

“Jangan takut untuk cuba berniaga. Kalau kita takut, kita tidak akan ke mana-mana. Jadi, jalan terus dan jangan toleh ke belakang,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.