SHAH ALAM, 17 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kajang bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membongkar penjualan produk coklat yang memaparkan logo halal diragui dalam pemeriksaan di sebuah premis sekitar Semenyih semalam.
Operasi dijalankan susulan aduan yang diterima JAIS berhubung penggunaan logo halal pada produk makanan.
KPDN dalam kenyataan memaklumkan pemeriksaan mendapati terdapat produk makanan jenis coklat yang memaparkan logo halal pada pembungkusannya, namun kesahihannya diragui.
"Susulan penemuan tersebut, pihak JAIS telah mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Perenggan 4(1), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," menurut kenyataan itu.
Dalam pemeriksaan sama, KPDN turut mengesan premis berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan diambil dengan mengeluarkan kompaun serta-merta (on the spot) terhadap premis berkenaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
KPDN mengingatkan semua pihak supaya sentiasa bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan serta mematuhi semua peruntukan undang-undang bagi melindungi kepentingan pengguna.









