JIM tumpas sindiket bekal pekerja asing, rampas RM48,524

17 Jul 2026, 4:54 AM
JIM tumpas sindiket bekal pekerja asing, rampas RM48,524
JIM tumpas sindiket bekal pekerja asing, rampas RM48,524

SHAH ALAM, 17 JULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket dipercayai mengurus dan membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran selepas menyerbu dua premis di sekitar Semenyih pada 15 Julai lalu.

Operasi Khas bermula jam 12.20 tengah hari itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama sebulan.

JIM menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan seramai tujuh warga asing berusia antara 27 hingga 57 tahun ditahan, termasuk seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai pemilik syarikat dan majikan.

Turut ditahan ialah empat lelaki warga Bangladesh, seorang wanita warga Bangladesh dan seorang wanita warga Thailand.

Menurut JIM, semakan awal mendapati majikan warga Bangladesh itu memiliki taraf Pemastautin Tetap Malaysia (MyPR), manakala seorang lagi warga Bangladesh memiliki Pas Pelajar dan wanita warga Thailand mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara sebagai pekerja restoran.

"Warga asing yang lain tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini," menurut kenyataan itu.

Dalam operasi sama, JIM menyita 31 pasport Bangladesh, satu pasport Thailand, salinan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta wang tunai berjumlah RM48,524.

Siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai mengurus dan membekalkan pekerja asing tanpa kelulusan sah dengan menjadikan premis perniagaan dan premis makanan sebagai lokasi operasi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

"Suspek juga menyasarkan majikan warga tempatan khususnya di Lembah Klang yang memerlukan tenaga kerja warga asing. Bayaran yang dikenakan untuk menguruskan dan memperbaharui pas adalah sebanyak RM4,000 bagi setiap seorang," menurut kenyataan itu.

Suspek utama disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Thailand pula disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala warga asing lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala seorang lelaki dan tiga wanita warga tempatan serta seorang lelaki warga Bangladesh diberikan notis hadir bagi membantu siasatan.

JIM menegaskan pihaknya akan terus memperhebat operasi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.

"Jabatan Imigresen Malaysia akan terus mempergiatkan operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara," menurut kenyataan itu.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.