Henti buang sampah haram di Kampung Bukit Raya, tingkat penguatkuasaan

3 Jan 2026, 11:35 AM
Henti buang sampah haram di Kampung Bukit Raya, tingkat penguatkuasaan

SHAH ALAM, 3 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua menyeru orang ramai supaya menghentikan segera perbuatan membuang sampah merata-rata di Kampung Bukit Raya yang semakin membimbangkan kebelakangan ini.

Datuk Wira Johan Abd Aziz berkata Kampung Bukit Raya tidak mempunyai tapak pembuangan sampah khusus, namun masyarakat seharusnya bersikap lebih prihatin.

Menurutnya, perbuatan tersebut bukan sahaja mencemarkan persekitaran malah memberi ancaman serius terhadap kesihatan dan kesejahteraan penduduk.

“Kita menerima aduan terus daripada ketua kampung berhubung tindakan segelintir pihak yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab.

“Perbuatan membuang sampah sesuka hati ini tidak boleh dipandang ringan. Ia mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab dan menjejaskan kualiti hidup penduduk,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, orang awam khususnya pihak yang terlibat diingatkan supaya menghentikan segera perbuatan berkenaan dan mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan wajar dipertingkatkan sekiranya masalah pembuangan sampah haram itu terus berlarutan.

“Kampung Bukit Raya merupakan laluan utama untuk masuk ke keseluruhan kawasan Hulu Langat. Kegagalan menjaga kebersihan di kawasan ini bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah memberi imej buruk kepada kawasan dan komuniti setempat,” katanya.