ISTANBUL, 16 JULAI: Tentera Iran memberi amaran bahawa Amerika Syarikat (AS) akan berdepan "kejutan" ketenteraan jika terus menyerang wilayah Iran dan melanggar memorandum persefahaman (MoU), lapor Anadolu Ajansi, memetik agensi berita ISNA.
Jurucakap tentera Iran Brigedier Jeneral Mohammad Akraminia berkata Presiden Donald Trump akan berdepan tindakan yang tidak dijangka daripada tentera Iran sekiranya Washington meneruskan dasar yang disifatkannya sebagai "melulu" dan "berniat jahat", selain meneruskan serangan.
"Pegawai AS akan berdepan cabaran baharu yang tidak dijangka daripada tentera Republik Islam Iran, sama ada dari segi persenjataan mahupun geografi peperangan, yang tidak pernah mereka bayangkan. AS seharusnya menjangkakan kejutan daripada tentera kami," kata Akraminia kepada ISNA.
Beliau berkata AS tidak mampu mengawal sepenuhnya perkembangan situasi, termasuk di kawasan yang didakwanya memiliki dominasi ketenteraan.
Akraminia berkata kapal-kapal Iran terus belayar dari Selat Hormuz menuju ke Lautan Hindi sambil memberi amaran bahawa "sebarang ancaman daripada AS atau sekutunya akan menerima tindak balas serta-merta dan keras" daripada Tehran.
Kenyataan beliau dibuat di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara AS dan Iran berhubung Selat Hormuz, dengan kedua-dua pihak masih saling melancarkan serangan walaupun terdapat memorandum persefahaman yang diusahakan Pakistan bagi menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai berkekalan.







