RXZ Members 8.0: Tiada kompromi terhadap peserta langgar undang-undang - Polis

16 Jul 2026, 7:49 AM
RXZ Members 8.0: Tiada kompromi terhadap peserta langgar undang-undang - Polis

KUALA TERENGGANU, 16 JULAI: Polis Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana peserta RXZ Members 8.0 yang melanggar peraturan atau undang-undang jalan raya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata walaupun tiada sebarang sekatan jalan raya dijalankan, pihak polis tetap menjalankan pemantauan dan aktiviti penguatkuasaan menerusi rondaan serta strategi operasi yang telah dirancang.

Beliau berkata tiada sebarang pengecualian atau keistimewaan diberi terhadap peserta RXZ Members 8.0 malah setiap pesalah akan dikenakan saman atau tindakan tegas sekiranya didapati melakukan kesalahan.

"Tiada aktiviti pukat...tiada sekatan jalan raya dibuat tetapi penguatkuasaan masih berjalan. Tidak ada keistimewaan atau pengecualian. Kalau salah kita akan bertindak.

"Kita ada cara lain untuk aktiviti penguatkuasaan. Itu strategi yang kami tak boleh dedahkan. Oleh itu saya nak nasihatkan semua peserta RXZ Members supaya patuhi undang-undang," katanya pada sidang media sempena Program RXZ Members 8.0 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini.

Mohd Khairi berkata sebanyak 619 anggota dan pegawai polis ditugaskan sepanjang program itu bagi memastikan kelancaran lalu-lintas dan ketenteraman awam.

Beliau berkata sebagai langkah kawalan, pihaknya turut menempatkan anggota di lokasi strategik seperti Pantai Seberang Takir dan Pantai Teluk Ketapang bagi mengelak aktiviti lumba haram atau “wheelie”.

Selain itu, pemantauan di tempat awam seperti Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Jambatan Angkat dan Pantai Batu Buruk akan ditingkatkan bagi menjaga ketenteraman orang awam.

"Kita jangka seramai 100,000 hingga 120,000 peserta RXZ Members akan membanjiri Terengganu sepanjang penganjuran selama dua hari bermula 31 Julai hingga 1 Ogos ini.

"Kita sedia maklum dengan keresahan masyarakat terhadap pelbagai isu seperti bunyi bising dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Jadi kita awal-awal dah beritahu penganjur dan ingatkan peserta supaya jangan mengubah suai ekzos yang boleh menghasilkan bunyi bising.

Mohd Khairi berkata selain itu pihaknya juga mengingatkan peserta agar memastikan tempat penginapan atau inap desa yang ditempah benar-benar wujud bagi mengelak kerugian wang ringgit.

Beliau berkata pada tahun lalu pihaknya merekodkan satu kes penipuan inap desa yang melibatkan kerugian lebih RM2,000.

"Selain itu polis juga merekodkan tiga kes kecurian motosikal di daerah Kuala Terengganu dan Dungun. Polis menasihatkan agar pemilik motosikal supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan lebih baik.

"Sebanyak dua kes kemalangan maut, dua cedera parah dan tujuh cedera ringan melibatkan peserta RXZ Members 7.0 direkodkan tahun lepas," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.