SHAH ALAM, 5 OGOS: Program RXZ Members wajar dipertimbangkan untuk dianjurkan mengikut negeri atau zon bagi mengurangkan jarak perjalanan penunggang sekali gus meminimumkan risiko kemalangan tanpa menjejaskan penyertaan komuniti motosikal.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan susulan insiden kemalangan yang berlaku ketika penunggang dalam perjalanan ke lokasi program atau pulang ke destinasi masing-masing.
Menurutnya, penganjuran mengikut negeri atau zon mampu mengurangkan keperluan penunggang melakukan perjalanan jauh selain membolehkan lebih ramai menyertai program dalam keadaan lebih selamat.
"Persoalan yang lebih besar ialah sama ada format penganjuran sedia ada masih paling sesuai memandangkan setiap tahun kita melihat angka kemalangan yang membimbangkan khususnya ketika penunggang dalam perjalanan ke lokasi program atau pulang.
"Acara ini boleh dianjurkan mengikut negeri atau zon supaya jarak perjalanan dapat dipendekkan sekali gus mengurangkan risiko perjalanan jauh tanpa menjejaskan penyertaan peserta," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Danial, yang juga seorang peminat aktiviti bermotosikal percaya pihak penganjur dan agensi penguat kuasa sentiasa mengingatkan peserta mengenai aspek keselamatan serta melaksanakan kawalan di lokasi program.
Bagaimanapun katanya, tanggungjawab keselamatan tetap terletak pada setiap individu kerana penunggang datang daripada pelbagai latar belakang dan mempunyai cara tunggangan berbeza.
Danial turut menegaskan penganjuran RXZ Members tidak wajar dipertikaikan kerana memahami budaya komuniti penunggang motosikal, namun mengingatkan agar isu kemalangan tidak dipolitikkan atau dijadikan alasan untuk menyalahkan mana-mana pihak.
Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga serta rakan penunggang yang terkorban dalam kemalangan selain berharap aspek keselamatan terus diberi perhatian dalam penganjuran program seumpama itu pada masa hadapan.
Sebelum ini, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 46 kemalangan membabitkan penunggang motosikal termasuk 11 kemalangan maut sepanjang empat hari penganjuran Program RXZ Members 8.0 dari 30 Julai hingga 2 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata daripada keseluruhan kes, 11 adalah kemalangan maut, lima kemalangan parah dan 30 lagi kemalangan ringan.
Program RXZ Members 8.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Terengganu 31 Julai dan 1 Ogos lalu menghimpunkan lebih 200,000 peserta sekali gus mencatat edisi dengan penyertaan terbesar sejak diperkenalkan pada 2017.







