KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Sebanyak 457,562 kandungan berunsur judi dalam talian telah diturunkan oleh pemberi perkhidmatan bagi tempoh 1 Jan 2025 hingga 31 Mei lepas.
Kementerian Komunikasi memaklumkan jumlah itu ialah 98 peratus daripada keseluruhan 467,772 permohonan penurunan kandungan, yang dikemukakan hasil pemantauan proaktif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta permohonan rasmi daripada agensi penguatkuasaan.
“Bagi tempoh yang sama, sebanyak 1,778 laman sesawang judi telah turut disekat oleh pemberi perkhidmatan Internet berdasarkan permohonan daripada SKMM,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini bagi menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai statistik jumlah portal iklan judi yang disekat serta tangkapan pengusaha judi dalam talian.
Menurut kementerian itu, isu berkaitan kegiatan perjudian secara umumnya berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia selaras dengan Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, namun SKMM sentiasa menyokong melalui bantuan siasatan dan sekatan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada soalan Prabakaran M Parameswaran (PH-Batu), Kementerian Komunikasi memaklumkan SKMM telah mengemukakan sebanyak 275,787 permohonan penurunan kandungan berkaitan penipuan (scam) bagi tempoh 1 Jan 2022 hingga 30 Jun lepas.
Daripada jumlah permohonan yang turut melibatkan akaun palsu dan penyamaran itu, sebanyak 262,293 kandungan atau 95 peratus telah diturunkan oleh pemberi perkhidmatan berdasarkan aduan dan undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.
Bagi menangani fraud kewangan di bawah Akta 866 pula, sebanyak lima permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun tahun ini dan kesemuanya berjaya diturunkan.
Kementerian itu menambah, pendekatan menyeluruh kerajaan (whole-of-government) terus diperkukuh melalui Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) serta pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang setakat ini telah meliputi 10,303 sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi di seluruh negara.






