Dari hobi kumpul miniatur kini jana pendapatan

19 Jul 2026, 4:00 AM
Dari hobi kumpul miniatur kini jana pendapatan
Dari hobi kumpul miniatur kini jana pendapatan
Dari hobi kumpul miniatur kini jana pendapatan
Dari hobi kumpul miniatur kini jana pendapatan

Permainan miniatur mungkin masih asing bagi sebahagian masyarakat. Dengan saiz figura yang kecil serta memerlukan masa untuk dipasang dan diwarnakan, ramai menganggap ia sekadar hobi mengisi masa lapang.

Namun di sebalik koleksi kecil itu, wujud satu ekosistem yang semakin berkembang. Daripada komuniti yang aktif menganjurkan pertandingan, peluang menawarkan perkhidmatan mengecat model hinggalah mewakili negara di kejohanan antarabangsa.

Perkembangan itu turut didorong oleh peningkatan minat terhadap hobi kreatif sejak pandemik Covid-19 apabila orang ramai mula mencari aktiviti yang boleh dilakukan di rumah.

Bagaimanapun selepas sekatan pergerakan ditamatkan, komuniti miniatur kembali aktif dengan lebih ramai pemain menyertai pelbagai acara dan perjumpaan.

Penganjur acara miniatur, Shazli Abdul Aziz, 49, melihat perubahan tersebut sebagai petanda positif terhadap masa depan industri yang sebelum ini hanya tertumpu kepada kelompok kecil peminat.

"Masa perintah kawalan pergerakan (PKP) orang sudah mula beli benda macam ini sebab tak boleh keluar. Sekarang PKP dah habis, dia orang keluar main. Boleh nampak kewujudan pemain semakin banyak," katanya kepada Media Selangor.

Peniaga miniatur, Radhiq Arbee menunjukkan patung aksi miniatur ketika program Kena! Convention 2026 di Pusat beli-belah Summit USJ, Subang Jaya pada 11 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Berbeza dengan barangan koleksi lain, miniatur tidak menjanjikan pulangan melalui spekulasi harga. Sebaliknya, nilai sebenar datang daripada usaha dan kemahiran yang ditambah pada produk tersebut.

Daripada model plastik yang masih kosong, pemain perlu memasang, mengecat dan menghasilkan kemasan yang kemas sebelum ia menjadi produk yang mempunyai nilai lebih tinggi. Kemahiran itu akhirnya membuka peluang kepada sebahagian pemain menawarkan perkhidmatan mengecat miniatur secara profesional.

"Kalau ikutkan pelaburan, ia tidak ada sangat nilai naik turun. Tapi boleh buat duit melalui perkhidmatan termasuk melukis dan mewarnakan model," katanya.

Perkhidmatan mengecat boleh ditawarkan bermula sekitar RM50 bergantung kepada tahap kemasan yang diminta. Walaupun kos untuk memulakan hobi ini boleh mencecah ribuan ringgit, komuniti miniatur mempunyai budaya tersendiri yang membantu mengurangkan beban pemain baharu.

"Bila pemain itu sudah bosan, kadang-kala mereka akan jual koleksi mereka dengan harga lebih murah. Walaupun tidak untung, tetapi dia boleh pusing modal dan tarik pemain baharu," katanya.

Harga sesebuah miniatur pula dipengaruhi oleh jenama, saiz, kualiti, pengedar rasmi serta sama ada model tersebut merupakan edisi khas atau karakter eksklusif.

Khair Luqman mewarna patung aksi miniatur ketika program Kena! Convention 2026 di Pusat beli-belah Summit USJ, Subang Jaya pada 11 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Lebih menarik, permainan ini mempunyai komuniti bertaraf antarabangsa. Malaysia sendiri pernah menghantar wakil ke World Championships of Warhammer 2025 di Atlanta apabila Christopher Koh, Daniel Tan dan Husain Amirudin berjaya menduduki tempat ke-37 dalam kejohanan yang menghimpunkan peserta dari lebih 50 negara.

"Komuniti miniatur selalu buat pertandingan atau perjumpaan di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Ada wakil Malaysia pergi lawan dekat luar negara, itu yang buat komuniti miniatur bangga," katanya.

Lelaki berasal dari Petaling Jaya itu turut melihat perkembangan industri ini semakin positif apabila syarikat permainan digital mula meneroka pasaran miniatur sekali gus memperluaskan potensi pertumbuhannya.

"Syarikat permainan digital sekarang pun dah mula masuk ke permianan miniatur, maksudnya benda ini ada potensi untuk berkembang," katanya.

Walaupun nilai miniatur lazimnya menyusut seperti kenderaan selepas digunakan, keadaan itu menjadikan hobi ini lebih tertumpu kepada minat dan kemahiran berbanding spekulasi harga.

"Nilai miniatur biasanya menyusut macam kereta. Namun, itulah yang menarik tentang hobi ini kerana ia tidak mempunyai unsur perjudian," jelasnya.

Perbezaan patung aksi miniatur yang belum diwarnakan dan telah diwarna yang dirakam ketika program Kena! Convention 2026 di Pusat beli-belah Summit USJ, Subang Jaya pada 11 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pandangan itu turut dikongsi peniaga miniatur, Radhiq Arbee, 39, yang melihat kekuatan sebenar permainan tersebut terletak pada kemahiran yang dibina sepanjang proses bermain.

"Permainan ini mengasah kreativiti. Kita kena pasang, kemudian warna sendiri. Daripada situ boleh juga ambil upah untuk mewarna," katanya.

Selain kreativiti, pemain turut diasah dengan kemahiran membaca, mengira dan merancang strategi kerana setiap karakter mempunyai peraturan tersendiri yang kebanyakannya ditulis dalam bahasa Inggeris.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.