Dari hobi ke lubuk rezeki, koleksi antik buruan peminat tegar

9 Apr 2026, 12:01 PM
Dari hobi ke lubuk rezeki, koleksi antik buruan peminat tegar
Dari hobi ke lubuk rezeki, koleksi antik buruan peminat tegar
Dari hobi ke lubuk rezeki, koleksi antik buruan peminat tegar
Dari hobi ke lubuk rezeki, koleksi antik buruan peminat tegar

Minat terhadap barangan lama yang dahulunya dianggap sekadar hobi, kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Di sebalik timbunan cakera lama, syiling klasik dan perhiasan vintaj, tersembunyi nilai sejarah, kenangan serta potensi ekonomi yang tidak kurang hebatnya.

Fenomena itu dapat dilihat di Pasar Lambak, Pusat Beli-belah Amcorp, Petaling Jaya yang menjadi tumpuan peminat barangan terpakai dan antik setiap hujung minggu.

Deretan gerai di pasar yang mula dibuka pada 1998 mempamerkan pelbagai koleksi lama, membuktikan barangan yang pernah dilupakan masih mempunyai peminat tersendiri.

Bagi sebahagian peniaga, perniagaan barangan lama bukan sahaja menghidupkan kembali kenangan silam, malah menjadi sumber rezeki yang stabil selepas melalui tempoh sukar pandemik Covid-19.

Peniaga, Ong Kok Soon di Bazar Lukisan dan Handmade Crafts, AmCorp Mall, Petaling Jaya pada 28 Febuari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Bagi Ong Kok Soon, dia mula berniaga selepas tempoh Covid-19 bermula dengan mengumpul barangan untuk kegunaan sendiri.

Lelaki 65 tahun itu kemudian melihat potensi menjual barangan lama, antik, barangan yang dibaik pulih serta barangan yang dikitar semula.

Antara koleksi yang mendapat permintaan ialah filem dalam format cakera seperti DVD, VCD, Blu-ray dan LaserDisc, khususnya dalam kalangan pengumpul tegar yang mahu melengkapkan koleksi masing-masing.

“Ramai orang sekarang sudah beralih kepada penstriman, jadi format cakera makin sukar ditemui. Ada pembeli datang semata-mata mahu lengkapkan siri koleksi mereka,” katanya kepada Media Selangor.

Dia menyifatkan kewujudan pasar lambak berkonsepkan barangan lama itu juga memberi manfaat dari sudut kelestarian alam sekitar.

“Ia menggalakkan amalan guna semula dan kitar semula berbanding membuang barangan yang masih mempunyai nilai.

Peniaga barang antik, Pengeran Adnin di Bazar Lukisan dan Handmade Crafts, AmCorp Mall, Petaling Jaya pada 28 Febuari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Antik, klasik dan vintaj

Seorang lagi peniaga, Pengeran Adnin berkata minat mengumpul barangan lama ketika masih tinggal di kampung menjadi titik tolak dia menceburi bidang tersebut secara serius sejak 12 tahun lalu.

“Harga barangan ditentukan mengikut harga pasaran dan bergantung kepada jenis serta keadaan barangan.

“Bukan semua barang antik itu mahal dan bukan semua yang lama itu murah. Ada kategori antik, klasik dan vintaj, dan nilai setiap satu berbeza ikut usia serta keadaan,” jelasnya.

Lelaki 42 tahun itu berkata barangan yang dijual diperoleh dari dalam dan luar negara dan ia mendapat sambutan menggalakkan termasuk daripada pembeli di rantau Asia.

“Kalau acara besar diadakan biasanya selama tiga hari, peniaga dari seluruh negara akan turun. Sambutan menggalakkan termasuk dari luar negara antaranya Korea, China, Singapura, Brunei dan Vietnam,” katanya.

Dia turut menekankan kepentingan memupuk minat generasi muda terhadap barangan lama kerana nilainya bukan sekadar pada harga, sebaliknya tersimpan cerita dan memori yang sukar dicari ganti.

Peniaga, Govindasamy Ratnam di Bazar Lukisan dan Handmade Crafts, AmCorp Mall, Petaling Jaya pada 28 Febuari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Bagi pengumpul tegar, Govindasamy Ratnam, barangan lama tetap mempunyai nilai tersendiri khususnya yang mengandungi perak atau emas serta sukar diperoleh di pasaran.

Lelaki 76 tahun itu mula mengumpul syiling, wang kertas dan setem sejak 55 tahun lalu dan melihat hobi itu sebagai aktiviti yang memberi ketenangan.

“Hobi mengumpul barang lama ini bantu tenangkan fikiran. Bila kita fokus pada koleksi, minda jadi lebih relaks dan rasa puas,” katanya yang memperoleh barangan itu dari dalam dan luar negara.

Dia juga menganggap Pasar Lambak Amcorp antara lokasi terbaik untuk pencinta barangan lama kerana menawarkan pilihan lebih pelbagai serta memudahkan pembeli membuat perbandingan sebelum membeli.

amcorp mall

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.