Sejarah fikiran maju

4 Apr 2026, 6:00 AM
Sejarah fikiran maju

Orang selalu keliru, menganggap falsafah itu bidang yang rumit dan berbelit-belit. Kita rasa falsafah tidak diperlukan, malah boleh mengelirukan fikiran.

Padahal, bidang ini bermakna cintakan kebijaksanaan (atau hikmah dalam bahasa Arab). Dalam bahasa Inggeris, ia disebut philosophy, gabungan dua kata Greek: philos (cinta) dan sophia (kebijaksanaan). Perkataan falsafah (Arab) meminjam daripada istilah asal Greek ini.

Bertepatan pula dengan pesan Rasulullah: "hikmah itu harta yang hilang daripada orang beriman. Dialah yang paling layak memilikinya di mana jua dia menemuinya" (hadis riwayat at-Tirmidzi).

Pada 11 Julai 2025, penerbit terkenal Universiti Cambridge menyebarkan satu makalah berjudul "Studying Philosophy Does Make People Better Thinkers" (Journal of the American Philosophical Association, Jilid 11, Keluaran 4 , Disember 2025).

Perhatikan elok-elok hasil kajian ini: belajar falsafah memang membantu seseorang berfikir lebih baik. Jadi silaplah mereka yang memandang rendah, curiga atau was-was soal ini.

Pada bahagian awal (abstrak) makalah tersebut, pengarangnya Michael Vazquez dan Michael Prinzing menulis:

"Menggunakan set data yang besar (termasuk rekod daripada lebih setengah juta pelajar sarjana muda di ratusan institusi di seluruh Amerika Syarikat), kami meneliti pencapaian pelajar falsafah dalam ujian penaakulan lisan dan logik, serta ukuran pembawaan intelektual yang bernilai.

"Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai keupayaan lisan yang lebih tinggi, serta lebih ingin tahu, berfikiran terbuka, dan teliti secara intelektual, lebih cenderung untuk mempelajari falsafah.

"Bagaimanapun, selepas mengambil kira perbezaan asas tersebut, pelajar jurusan falsafah mengatasi semua jurusan lain dalam ujian penaakulan lisan dan logik serta dalam ukuran tabiat pemikiran yang bernilai.

"Hal ini memberikan bukti paling kukuh setakat ini bahawa mempelajari falsafah sememangnya menjadikan seseorang pemikir yang lebih baik."

Belajar falsafah

Hasil kajian ini menyimpulkan: 1. belajar falsafah itu bagus, dan 2. mendalami jurusan falsafah lebih bagus. Maka, jika kita mahu bijaksana dan berfikir teliti, sekurang-kurangnya kita boleh mengambil langkah pertama: belajar falsafah.

Bryan Magee, pengarang buku The Story of Philosophy (edisi pertama 1998), berkata sumbangan falsafah dan ilmu tamadun Islam atau Timur Tengah telah berjaya mengeluarkan Eropah daripada kegelapan kejahilan. Tanpa sumbangan ulama dan sarjana Islam dalam tamadun Timur Tengah, Sepanyol (Andalusia) dan Afrika Utara, tentu Eropah berada dalam kegelapan.

Buku Magee ini sudah diterjemah dengan judul Cetera Falsafah (2025). Terjemahan ini diusaha oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan bantuan dana Kerajaan Negeri dan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd.

Buku setebal 386 halaman ini dihiasai pelbagi gambar, lukisan, ilustrasi, petikan kata-kata, kotak maklumat, peta dan imej yang merangsang minat pembaca.

Pada halaman 73 Cetera Falsafah, Magee menulis: "Seandainya ada sesiapa pada Zaman Gelap [Eropah] yang mendakwa bahawa benua biadab lagi jahil ini suatu hari kelak akan berupaya demikian [maju tanpa bantuan ilmu Arab/Islam], maka [kemungkinan] itu kedengaran tidak masuk akal.

"Pada waktu itu, dunia Islam yang memelihara kebanyakan khazanah kebudayaan zaman kuno klasik [Eropah]. Contoh yang paling terkenal dalam bidang falsafah membabitkan karya Aristotle.

"Kebanyakan karyanya telah lenyap di Eropah tetapi terpelihara dalam dunia Arab [Islam], dan hanya abad ke-13 barulah diperkenalkan semula di Eropah."

Pengakuan Magee ini tidaklah pelik jika kita melazimi karya-karya sejarah perubahan pemikiran dunia, antara tamadun Greek kepada dunia Arab dan Islam yang akhirnya singgah ke Eropah sebelum benua ini maju, lalu mencipta pemikiran moden yang membawa kesan ke serata dunia hingga kini.

Magee menambah: "Perhubungan kebudayaan [Eropah] dengan dunia Arab pada abad ke-12 dan ke-13 telah menghasilkan kesan yang membawa perubahan amat besar terhadap perkembangan akliah bangsa Eropah, dan bukan hanya setakat [idea] Aristotle."

Sebagai penuntut falsafah, saya nampak buku Cetera Falsafah antara karya terbaik. Ia mudah difahami dan paling menarik mengupas sejarah idea, cara manusia berfikir, asal-usul kebangkitan dunia moden yang kita hidup saat ini.

Karya Magee diolah dengan bahasa ringkas dan lancar. Pada halaman-halaman dalamnya, seperti disebut tadi, terdapat peta, foto dan petak maklumat yang dapat merangsang ingatan.

Buku asal Magee ini terbitan DK Books, syarikat yang terkenal memudahkan penyampaian sejarah rumit dengan kaedah ilustrasi dan grafik yang menarik dan mudah diingat.

Semua kekuatan ilustrasi, peta, grafik, gambar dan petak maklumat daripada buku asal The Story of Philosophy dimuatkan dalam edisi terjemahan. Kertasnya pula berkualiti tinggi bagi memastikan semua ilustrasi atau imej asal ini dapat dikekalkan dengan sempurna.

Selain keistimewaan ini, sebenarnya tidak banyak buku falsafah yang menarik dan mudah diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Buku Cetera Falsafah boleh dianggap buku ketiga terbaik dalam bahasa Melayu selepas dua lagi terjemahan.

Pertama, Sejarah Falsafah Islam karya Majid Fakhry (terbitan 1989, terjemahan A History of Islamic Philosophy - edisi pertama 1970). Kedua, novel remaja Dunia Sophie karya Jostein Gaarder (terbitan 2006, terjemahan Sophie's World - edisi pertama 1991 dalam bahasa Norway).

Buku pertama ini antara teks rujukan saya ketika mengambil kelas Sejarah dan Falsafah Sains Islam di kampus pada 1991. Ia harus menjadi bacaan wajib umat Islam kerana ia menyampaikan dengan ringkas, padat dan mudah perkembangan falsafah termasuk aliran ilmu kalam yang menjadi teras awal akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Buku Sejarah Falsafah Islam akan menjelaskan maksud Magee apabila beliau berkata Eropah sangat terhutang budi pada pemikiran dunia Islam: "perhubungan kebudayaan [Eropah] dengan dunia Arab pada abad ke-12 dan ke-13 telah menghasilkan kesan yang membawa perubahan amat besar terhadap perkembangan akliah bangsa Eropah."

Buku Magee tidak menhuraikan panjang lebar perkembangan pemikiran Islam tetapi kita boleh faham selepas mendalami karya Majid Fakhry. Novel remaja Gaarder juga seperti buku Magee, kedua-dua karya ini mengutamakan sejarah pemikiran Barat.

Ahli falsafah terkenal abad ke-20 dan pemenang Hadiah Nobel sastera 1950, profesor Bertrand Russell, menulis buku tebal tentang ini, A History of Western Philosophy pada 1945. Dewan Bahasa dan Pustaka pernah menterjemah teks tebal ini dengan judul Sejarah Falsafah Barat (1993).

Jadi, kita boleh simpulkan karya Magee dan Gaarder sebenarnya edisi mudah rahsia pemikiran yang memajukan Eropah dalam pelbagai bidang khasnya sains, teknologi, politik, seni, ekonomi dan juga kesannya pada agama.

Walau buku-buku ini diberi judul falsafah tetapi pada hakikatnya, karya ini pasti membuka fikiran kita ke arah mengenali evolusi kemajuan manusia dalam tempoh 2,500 tahun.

Pada hakikatnya ia menceritakan bagaimana manusia berfikir untuk memahami dirinya, alam ini dan cara mengurus kehidupan bersama.

Buku seperti ini membuka rahsia di sebalik kepesatan kemajuan dalam bidang sains, politik, budaya dan pemikiran. Kita selama ini tidak sedar kemajuan dunia ini ada asas dan asal-usulnya.

Sebab itu kita selalu terpinga-pinga cuba memahaminya. Kadang-kadang kita terkejut melihat perkembangan dunia yang luar biasa. Kita tidak akan faham dunia hari ini sehingga kita mencari buku ini dan menyelami idea dalam Cetera Falsafah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.